Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bagi meningkatkan tahap kesiapsagaan di pintu sempadan darat dan perairan negara, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mula menggerakkan proses perolehan aset baharu menerusi peruntukan sebanyak RM19.7 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, semalam.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, turut diberi perhatian adalah pembinaan tujuh lagi pos kawalan dan menjadikan negara memiliki 11 pos di pintu sempadan Sarawak-Kalimantan selain pembelian tiga Littoral Mission Ship (LMS) bagi kawalan di Markas Wilayah Laut, Mawila 4.

Beliau berkata, tambahan RM2 bilion dalam menepati keperluan semasa MINDEF dalam meningkatkan tahap keupayaan pasukan pertahanan.

“Antara yang kita berikan tumpuan adalah di Mavila 4 yang pangkalannya di Sarawak dan tahun hadapan ini juga kita akan mulakan pembelian tiga LMS.

“Dengan cara itu kita akan dapat memperkukuhkan lagi maritim negara kerana melalui kertas putih pertahanan maritim adalah antara sumber kekayaan utama memandangkan Malaysia adalah sebuah negara maritim.

“Sebab itu dengan peruntukan diberikan kita akan memperkukuhkan lagi keselamatan di sempadan Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Pendanaan Politik, di Ayer Keroh, hari ini.

Menurut Adly, belanjawan yang diterima juga menunjukkan kebajikan anggota tentera termasuk veteran tidak pernah dipinggirkan sebaliknya terus diberi perhatian serius.

“Ia terbukti apabila peruntukan Rumah Angkatan Tentera bagi golongan berkenaan dipertingkatkan kepada RM400 juta berbanding RM100 juta pada Belanjawan 2023,” katanya.

Semalam dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM19.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan iaitu meningkat RM2 bilion. Sumber: Harian Metro