Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MESKIPUN PAS pernah menolak tawaran untuk bekerjasama menubuh Kerajaan Perpaduan, namun ia masih terbuka dan tiada halangan untuk menyertai kerjasama itu pada masa hadapan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tawaran itu telah diberikan kepada PAS ketika beliau mahu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri tahun lalu.

Dalam temu bual Time Magazine yang disiarkan dalam talian semalam, beliau mengesahkan bahawa memang ada tawaran kepada PAS untuk menyertai pentadbirannya.

“Tentang sama ada kita bersedia untuk melibatkan diri dengan mereka, sudah tentu kita lakukan. Kita mesti.

“Dan saya telah menghantar [jemputan] kepada mereka … Ya, saya telah terbuka dengan idea itu sejak awal.

“Lagipun ini adalah kerajaan perpaduan dan kita melakukan yang terbaik untuk negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, syarat dasar utama ialah, agar PAS menerima bahawa walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama, dan setiap rakyat mempunyai tempat.

Ditanya apakah jawapan PAS, Anwar mendakwa tidak ada penolakan yang jelas mahupun respons positif.

“Iklim politik masih agak panas, jadi kami akan biarkan ia sejuk untuk beberapa waktu,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi gambaran bahawa pintu untuk PAS menyertai pentadbirannya masih terbuka.

“Saya tidak mahu menghalang (PAS menyertai kerajaan).

“Sudah tentu, bergantung kepada syarat dasar utama ini diterima,” katanya seperti dipetik dari Malaysiakini. -Media Perpaduan