Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SIKAP pembangkang Perikatan Nasional (PN) yang terus membisu untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan berhubung peruntukan Ahli Parlimen mereka terus menjadi tanda tanya.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, adakah keengganan itu memberi petunjuk sama ada pembangkang takut dengan syarat-syarat tatakelola yang ditetapkan kerajaan bagi menghindarkan perbelanjaan di luar tujuan yang sebenar.

“Adakah dari awal lagi pembangkang takut dengan syarat-syarat tatakelola yang akan dikenakan yang menghalang mereka daripada berbelanja sesuka hati bagi tujuan politik daripada peruntukan wang rakyat itu?,” soalnya dalam ciapan di Akaun X.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menjelaskan, kerajaan tetap menyalurkan menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dalam bentuk projek-projek dan bantuan terus kepada rakyat bagi kawasan masing-masing.

Tegasnya, perkara ini tidak menimbulkan masalah, sebaliknya, yang dibangkitkan pembangkang ialah peruntukan Ahli Parlimen PN untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.

Jelas beliau, secara prinsipnya, kerajaan bersetuju untuk memberi namun ianya perlu melalui rundingan terus dan melibatkan syarat-syarat yang tertentu bagi memastikan peruntukan selari dengan dasar tata kelola yang ditetapkan.

Namun Rafizi berkata, sehingga kini rundingan tidak berlangsung.

“Yang dibangkitkan pembangkang ialah peruntukan ahli Parlimen untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.

“Kenapa pembangkang tak nak mulakan proses rundingan? Kerajaan dah hantar surat pada pembangkang, tapi tidak disambut,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk dakwaan peruntukan rakyat di Parlimen pembangkang dinafikan.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytihar untuk menyokong kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen PN itu berkata, beliau tidak tahan lagi melihat kawasannya ketinggalan dan terabai hanya kerana perbezaan politik.

Menurutnya, tindakannya itu adalah untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pengundinya yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini. -Media Perpaduan