Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

INDIVIDU yang menyebarkan video berhubung dakwaan membeli beras plastik di Sandakan baru-baru ini, tampil mengakui membuat dakwaan palsu dan memohon maaf.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin mengesahkan perkara itu dalam hantaran di Facebook, semalam.
Menurutnya, lelaki terbabit datang ke pejabat syarikat pemborong beras yang didakwa menjual beras plastik terbabit dan mengakui dakwaan berkenaan tidak benar.

“Susulan siasatan dakwaan beras plastik dilakukan semalam, saya difahamkan seorang individu yang dipercayai adalah perakam video tular berkenaan menampilkan diri ke Syarikat Sazarice Sdn Bhd di Sandakan pada pagi ini.

“Saya dimaklumkan bahawa individu itu mengakui bahawa dakwaan beras plastik adalah tidak berasas dan jenama beras yang dituduh sebenarnya adalah beras tulen.

“Saya juga menonton sebuah video yang mana individu itu memohon maaf kepada Syarikat Sazarice dan pihak yang terjejas,” katanya.

Nasib individu itu baik kerana menurut Foong Hin, syarikat itu menerima permohonan maaf namun memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan atau menyebarkan dakwaan tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran orang awam.

Foong Hin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu. -Media Perpaduan