Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEGAGALAN Ahli Parlimen pembangkang Perikatan Nasional (PN) mengadakan rundingan dengan kerajaan berhubung peruntukan wakil rakyat telah menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen PN itu berkata, beliau tidak tahan lagi melihat kawasannya ketinggalan dan terabai hanya kerana perbezaan politik.

Menurutnya, tindakannya itu adalah untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pengundinya yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Justeru, saya membuat keputusan ini bagi menyokong inisiatif kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dipetik The Star, hari ini.

Ahli Parlimen Bersatu itu berkata, keputusannya menyokong Kerajaan Perpaduan adalah berkuatkuasa hari ini.

Jelasnya, beliau mahu melihat sama ada Anwar akan menepati ikrarnya berhubung peruntukan untuk Ahli Parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

“Saya percaya ekonomi mesti dipertingkatkan untuk negara maju dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, saya akan menyokong usaha Perdana Menteri untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berulang kali memberitahu di Dewan Rakyat agar pembangkang mengadakan rundingan dengan kerajaan berhubung peruntukan Ahli Parlimen pembangkang bukannya hanya sekadar menuntutnya.

Bagaimanapun,Iskandar Dzulkarnain menegaskan, beliau tetap setia kepada Bersatu dan PN

“Saya tidak akan sekali-kali mengkhianati parti saya, Bersatu, dalam apa jua keadaan. Saya menjunjung prinsip kesetiaan dan kesetiaan kepada parti,” katanya. -Media Perpaduan