DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan agar sentiasa konsisten memastikan Malaysia komited memajukan tenaga boleh diperbaharui di samping memudahkan urusan perniagaan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ia dizahirkan Perdana Menteri dalam pertemuan dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkongsi perkara yang sama dinyatakan ketika bertemu beberapa menteri kanan yang terlibat dalam hal ehwal ekonomi, perdagangan dan pelaburan, pemegang taruh dana kekayaan berdaulat UAE, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan syarikat-syarikat perniagaan terbesar di UAE.
“Insya-Allah, saya yakin perencanaan yang telah disusun serta dirangka ini mampu menjadikan Malaysia antara hab terpenting bagi sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Abu Dhabi di UAE pada Khamis dan Jumaat lalu.
Malaysia meraih manfaat besar terutama dalam aspek pelaburan dari negara teluk tersebut dengan menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion (US$8.6 bilion) dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan logistik. -Media Perpaduan