Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JABATAN Standard Malaysia (JSM) telah menubuhkan jawatankuasa khas dinamakan National Mirror Committee bagi menghasilkan piawaian kebangsaan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, jawatankuasa itu dipengerusi syarikat di bawah MOSTI iaitu MIMOS Berhad.

Justeru, beliau berkata, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak industri melalui jawatankuasa itu sedang membangunkan kod etika dan tadbir urus AI.

Menurutnya, kod etika serta tadbir urus itu akan menjadi asas kepada pengawalseliaan AI dalam negara dan dijangka siap pada 2024.

“MOSTI meneliti keperluan mewujudkan rangka kerja perundangan dan akta berkaitan AI.

“Sementara akta berkaitan AI diwujudkan, pemetaan akta sedia ada yang berkaitan sedang dilakukan sebagai langkah awal untuk mengatasi masalah berkaitan etika AI daripada aspek perundangan negara.

“Penggunaan standard dan perundangan adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Kebergantungan kepada aspek perundangan semata-mata dalam pengawalan dan pemantauan teknologi AI akan merencatkan inovasi teknologi ini.

“Sebaliknya pengawal seliaan melalui akta dan perundangan hanya perlu sekiranya penggunaan standard kurang berkesan dalam tujuan pengawalan dan pemantauan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Chang menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse [PKR-Tebrau] yang mahu MOSTI menyatakan langkah kementerian untuk mengawal dan memantau penggunaan teknologi AI yang dilihat semakin meluas.

“Dalam sidang Dewan Rakyat ada persoalan dibangkitkan mengenai pemantauan penggunaan teknologi AI iaitu satu teknologi yang kompleks dan proses pengawalan dan pemantauannya membabitkan pelbagai aspek seperti teknikal, perundangan, etika, polisi serta standard/piawaian.

“Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 mengandungi Tujuh Prinsip AI yang bertanggungjawab dan Tujuh Prinsip AI tersebut adalah senarai panduan bagi membimbing pembangunan AI yang dipercayai serta bertanggungjawab seterusnya dapat melindungi hak dan privasi seseorang individu daripada penyalahgunaan,” katanya. –Media Perpaduan