KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju (YP) menyasarkan untuk melahirkan lebih 2,000 tenaga mahir Bumiputera dalam bidang reka bentuk cip semikonduktor peringkat awal atau ‘front-end’ sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selaras usaha memperkukuh kepimpinan dan keupayaan tempatan dalam industri bernilai tinggi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pembangunan bakat dan kepimpinan Bumiputera penting bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi.
“Pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan dengan gaji lebih baik, perusahaan Malaysia yang lebih kukuh serta peluang lebih luas untuk meningkatkan taraf ekonomi.
“Tugas kita bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi memastikan pelaburan itu membina keupayaan tempatan dan mewujudkan nilai berkekalan dalam ekonomi,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kepimpinan Yayasan Peneraju 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 berdasarkan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), manakala kerajaan mengunjurkan pertumbuhan antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027.
Persidangan itu menghimpunkan lebih 300 alumni Peneraju, golongan berbakat, pemimpin industri serta rakan strategik.
YP, agensi di bawah Kementerian Ekonomi, turut mengalihkan tumpuan daripada penciptaan kekayaan kepada penciptaan nilai dengan memberi penekanan lebih besar terhadap pembangunan individu, bukan sekadar dari segi kelayakan profesional dan kemahiran teknikal, malah keupayaan memikul tanggungjawab kepimpinan serta membuat keputusan.
YP memanfaatkan rangkaiannya yang merangkumi hampir 70,000 alumni dan lebih 13,000 individu berbakat aktif bagi melahirkan tiga kategori pemimpin, iaitu profesional, perniagaan dan komuniti menerusi inisiatif Talent Bank.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YP, Nor Azmah Zahrullail, berkata alumni dan golongan berbakat dilihat sebagai rakan strategik dalam merealisasikan aspirasi lebih luas yayasan itu, bukannya sekadar penerima bantuan.
“Mereka adalah rangkaian lanjutan kita dari segi pengetahuan, pengalaman, kepakaran dan pengaruh. Ini juga sebabnya kita mahu menggalakkan budaya menyumbang semula, perkongsian ilmu, bimbingan dan kerjasama yang lebih kukuh dalam komuniti Yayasan Peneraju,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2012, YP telah membangunkan lebih 100,000 individu Bumiputera dalam pelbagai sektor.
YP turut memperluas jangkauannya menerusi Dana YP, iaitu dana awam bukan berasaskan keuntungan yang bertujuan menyokong pembangunan bakat Bumiputera yang bersedia menghadapi keperluan masa depan, selain menggalakkan sumbangan orang ramai bagi menjayakan inisiatif berkenaan. -BH Online
