KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah dan pihak pengurusan MARA termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) diarah mengambil tindakan serius dengan melakukan perubahan serta penambahbaikan segera terhadap kod etika dan adab penganjuran majlis konvokesyen di semua institusi pendidikan di bawah agensi itu.
Ia susulan isu persembahan hiburan ala konsert yang disifatkan tidak wajar dan tidak beradab dalam majlis istiadat konvokesyen, baru-baru ini.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata majlis konvokesyen adalah acara penting dalam mengiktiraf serta memartabatkan ilmu.
Sekiranya nyanyian atau persembahan artis jemputan diadakan ketika waktu rehat, pemilihan lagu, pakaian dan konsep persembahan perlu bersesuaian dengan majlis berkenaan.
“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah, pengurusan MARA dan UniKL mengambil tindakan serius mengenai hal ini dan melakukan perubahan dan penambahbaikan segera ke atas kod etika dan adab penganjuran majlis konvokesyen institusi pendidikan di bawah MARA.
“Saya ingin tekankan bahawa ilmu bukan sekadar proses memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran, tetapi lebih daripada itu, ia adalah proses pembentukan adab, penyemaian nilai dan pembinaan keperibadian insan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman persembahan hiburan sempena Majlis Konvokesyen UniKL Ke-23 yang berlangsung dari 21 hingga 26 November di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Suasana persembahan yang disifatkan seperti konsert itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan warganet mengenai kesesuaian elemen hiburan dalam sebuah majlis istiadat yang seharusnya mengangkat martabat ilmu.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau sudah memanggil Naib Canselor UniKL dan Ketua Pengarah MARA untuk membentangkan tindakan yang bakal diambil bagi menambah baik penganjuran majlis istiadat konvokesyen universiti serta institusi pendidikan MARA.
Pertemuan itu dijadual berlangsung Isnin ini. -BH Online
