JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi dan sedia menyerahkan mana-mana anggota tentera yang terbabit dalam penyeludupan dadah kepada pihak berkuasa, biarpun berdepan hukuman mati.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ketegasan itu penting kerana perbuatan itu bukan sahaja membabitkan penyalahgunaan aset tentera, malah satu kesalahan jenayah serius.
“Kita tidak teragak-agak menyerahkan sesiapa sahaja yang melakukan perkara sebegitu kepada polis walaupun mereka berhadapan hukuman mati, gantung atau penjara seumur hidup.
“Kita tidak kompromi dalam hal ini dan ini adalah amaran kepada semua anggota,” katanya selepas merasmikan Karnival CIMIC Johor 2026 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Pasir Gudang di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, setakat ini lapan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan enam pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.
Daripada jumlah itu, tiga sudah didakwa di mahkamah, manakala lima lagi masih dalam siasatan polis.
Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku tangkapan baharu bergantung kepada hasil siasatan polis.
“Saya berharap melalui kes ini ia dapat membersihkan ATM, terutamanya dalam kes ini membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kalau ada tangkapan, tidak mengapa. Kes ini kena disiasat sehingga semua yang terbabit dapat ditangkap, tidak kira siapa,” katanya.
Harap polis buru dalang sindiket
Dalam pada itu, Khaled berharap polis turut memburu dalang sebenar sindiket berkenaan yang dipercayai menggunakan anggota tentera bagi melancarkan kegiatan mereka.
Katanya, anggota tentera yang ditahan dipercayai hanya menjadi alat kepada sindiket dan tidak mewakili keseluruhan TUDM.
“Kita berharap polis dapat menangkap dalang sebenar kerana kita sudah memberikan laluan melalui semua maklumat yang diberikan anggota tentera yang ditahan.
“Saya tidak ada niat untuk mempertahankan sesiapa. Sebab itulah kita tangkap, serahkan kepada polis dan biar mereka siasat. Kita akan pergi sampai ke lubang cacing,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, TUDM sudah menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti semula semua prosedur operasi standard (SOP) susulan kes berkenaan.
Katanya, kementerian juga boleh menjalankan siasatan dalaman terhadap anggota yang tidak didakwa atau dilepaskan polis bagi menentukan sama ada mereka masih wajar dikekalkan dalam perkhidmatan ATM.
Beliau menegaskan tindakan tegas perlu diambil kerana salah laku sedemikian bukan sahaja boleh merosakkan imej pasukan keselamatan, malah menjejaskan usaha negara mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Semalam, tiga pegawai TUDM bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 96.2 kilogram (kg) di Pangkalan Udara Subang, pada 17 November lalu. -BH Online
