TEGALLALANG, BALI, INDONESIA – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meneruskan lawatan kerja ke Desa Tegallalang, Kabupaten Gianyar, Bali bagi meninjau potensi pembangunan ekonomi desa berasaskan pertanian, pelancongan komuniti dan kekuatan tempatan.
Lawatan penandaarasan itu turut disertai Wakil Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia, Bapak Ir. H. Ahmad Riza Patria serta delegasi kedua-dua negara.
Menerusi lawatan tersebut, Zahid berpeluang melihat sendiri pendekatan pembangunan desa di Tegallalang yang menggabungkan sektor pertanian, landskap semula jadi dan aktiviti pelancongan komuniti sebagai sumber penjanaan ekonomi penduduk setempat.
Antara keunikan yang diberi perhatian ialah sistem pengairan tradisional Subak, kawasan sawah padi yang terus diusahakan masyarakat serta pelaksanaan konsep agropelancongan yang berjaya menghubungkan aktiviti pertanian dengan peluang ekonomi tambahan.
Menurut beliau, Malaysia juga mempunyai banyak kampung yang kaya dengan potensi pertanian, warisan budaya, makanan tradisional, kraftangan dan keindahan alam semula jadi yang boleh dibangunkan sebagai pemangkin ekonomi desa.
Justeru, pertukaran pengalaman dan amalan terbaik antara Malaysia dan Indonesia amat penting bagi mengenal pasti pendekatan pembangunan yang bersesuaian dengan keperluan serta kekuatan masyarakat desa di kedua-dua negara.
Pengalaman di Tegallalang turut memberikan input berguna kepada Malaysia dalam memperkukuh ekonomi desa melalui pembangunan pelancongan komuniti tanpa mengabaikan sektor pertanian, identiti dan warisan asal sesebuah kampung.
Usaha seumpama ini selari dengan komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk terus memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar serta membuka lebih banyak peluang pendapatan dan keusahawanan kepada penduduk desa.
#MalaysiaIndonesia #DesaTegallalang #Bali #KKDW #PembangunanDesa – Media Perpaduan
