Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia menyediakan dana sekurang-kurangnya RM90 juta menerusi Program Pelaburan PKS dengan kerjasama tiga rakan strategik bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata daripada jumlah itu, SME Corp menyediakan peruntukan RM45 juta, manakala baki RM45 juta disokong menerusi kerjasama strategik dengan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), OSK Ventures International Bhd dan Hartamodal Sdn Bhd.

Beliau berkata, program berkenaan menawarkan kemudahan pembiayaan kepada PMKS yang layak menerusi dua pendekatan, iaitu pembiayaan berasaskan hutang dan ekuiti.

Katanya, inisiatif itu diharap dapat membantu syarikat PMKS memperkukuh kapasiti perniagaan serta mengembangkan operasi, khususnya dalam sektor berimpak tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman bank.

“Saya berharap PMKS dapat memanfaatkan program baharu ini yang menyediakan dana RM90 juta untuk terus memacu pertumbuhan syarikat masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ibu pejabat baharu dan sambutan ulang tahun ke-30 SME Corp Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Sim berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang meneliti mekanisme perlindungan aliran tunai PMKS bagi menangani isu kelewatan pembayaran yang boleh menjejaskan operasi perniagaan.

Beliau berkata, tempoh pembayaran bagi sesetengah urusan perniagaan boleh mencecah purata 120 hari, termasuk kelewatan bayaran dan wang yang ditahan, sekali gus menyebabkan PMKS berdepan kekangan aliran tunai serta kecairan.

Katanya, mekanisme berkenaan perlu diteliti bagi memastikan PMKS mempunyai kecairan mencukupi untuk membiayai keperluan perniagaan, termasuk latihan pekerja, pembayaran gaji lebih kompetitif, peningkatan produktiviti dan penggunaan teknologi.

“Usaha berkenaan adalah antara pendekatan dalam strategi Pelan Tindakan SCALE 2027 yang dirangka KUSKOP bagi menangani cabaran dihadapi PMKS secara lebih sistematik,” katanya -BH Online