PUTRAJAYA: Isu pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan akan membawanya ke Kabinet.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan minit mesyuarat yang didedahkan itu, kerana bukan anggota Lembaga Pengampunan.
“Dalam Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri ada sebut (mahu bawa ke Kabinet) dan selepas itu Menteri Komunikasi (Datuk Seri Fahmi Fadzil) sebut selepas mesyuarat Kabinet (pada sidang media). Jadi, dalam mesyuarat Kabinet (Jumaat lalu) tidak ditimbulkan.
“Jadi, itu yang saya buat soalan bagi pihak UMNO. Saya bukan dalam Lembaga Pengampunan, justeru saya tak boleh sahkan sama ada minit (yang didedahkan) itu betul atau tidak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian kepada pemberita pada Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026, di sini, hari ini.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen daripada DAP, Tony Pua, kongsikan beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat itu yang didakwa sudah dinyahklasifikasikan, dalam akaun Facebook beliau.
Menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dinyahklasifikasikan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Mengulas tindakan UMNO susulan pendedahan berkenaan, Azalina berkata, parti itu tidak mahu bertindak terburu-buru atau sekadar memberi reaksi terhadap perkembangan semasa.
Beliau berkata, UMNO akan meneliti setiap perkembangan sebelum menentukan tindakan dan memberikan respons sewajarnya.
Katanya, isu itu perlu ditangani dengan berhati-hati kerana ia turut membabitkan kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai parti yang menjunjung Perlembagaan, kita perlu berhati-hati. Saya tidak mahu ‘melangkah bendul’ dan biarlah satu demi satu dahulu.
“Apabila parti melihat perkembangan itu, kita akan memberikan respons,” katanya.
Mengulas kemungkinan pendedahan berkenaan mempunyai unsur hasutan, Azalina berkata, perkara itu wajar diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kenyataan secara terburu-buru kerana isu berkenaan boleh menyentuh sensitiviti 3R membabitkan agama, kaum dan institusi diraja. -BH Online
