Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mempertingkatkan kesiapsiagaan dengan mengaktifkan persediaan pelaksanaan Pelan Kontingensi di semua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara susulan insiden serangan dron dan peluru berpandu Houthi di Arab Saudi. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pelan yang sentiasa dikemas kini itu merangkumi pemetaan lokasi rakyat Malaysia, mekanisme komunikasi, penyelarasan sumber serta strategi evakuasi sistematik.

“Pelan ini akan digerakkan dan disesuaikan mengikut keperluan semasa termasuk berdasarkan tahap risiko, perkembangan situasi keselamatan setempat serta jumlah rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi.

Beliau menjawab soalan Kapten (B) Azahari Hasan (Bebas-Padang Rengas) mengenai langkah kerajaan melindungi rakyat Malaysia termasuk jemaah umrah dan pelajar di Arab Saudi susulan peningkatan serangan dron dan peluru berpandu Houthi termasuk ancaman keselamatan berhampiran Makkah.

Selain itu katanya, kerajaan juga menggalakkan rakyat Malaysia berdaftar dengan Pejabat Diplomatik Malaysia di luar negara sama ada melalui e-mel, panggilan telefon atau sistem e-Konsular. 

“Pendaftaran ini amat penting bagi memastikan maklumat rakyat Malaysia adalah tepat sekali gus memudahkan perancangan bantuan, penyampaian maklumat serta pelaksanaan operasi evakuasi. 

“Pada masa sama, kami menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan aplikasi MyWorldAlert yang mempunyai fungsi komunikasi berasaskan lokasi semasa (dengan izin), Sistem Kedudukan Global (GPS).

“Ia membolehkan rakyat Malaysia berhubung secara terus dengan Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia terdekat bagi mendapatkan bantuan konsular sewajarnya,” katanya. 

Katanya, kerajaan juga mengeluarkan nasihat perjalanan, pemakluman media dan siaran akhbar selain notis konsular melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah serta Kedutaan Besar Malaysia di Muscat susulan insiden serangan dron dan peluru berpandu Houthi pada 15 September lalu. 

“Notis itu bagi meminta semua rakyat Malaysia termasuk jemaah umrah dan pelajar supaya sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa. 

“Bagi nasihat perjalanan, pemakluman media dan siaran akhbar, hebahan dilakukan melalui saluran media sosial rasmi Kementerian Luar dan Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sebagai panduan kepada rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko. 

“Ini membolehkan rakyat Malaysia sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. 

Lebih 2,000 rakyat Malaysia kini di Saudi

Setakat ini katanya, seramai 2,334 rakyat Malaysia di Arab Saudi dan 582 rakyat Malaysia di Yaman berdaftar dengan Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia. 

“Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa mengadakan libat urus dengan kerajaan negara tuan rumah bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan melaporkan status dan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. 

“Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik juga Malaysia sentiasa memantau rapat perkembangan situasi keselamatan di seluruh dunia termasuk perkembangan konflik di Timur Tengah,” katanya. 

Menurutnya, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan termasuk pelajar dan jemaah umrah. 

“Kementerian Luar kekal komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terjamin terutama mereka yang berada dan menetap di negara berisiko terbabit dengan konflik serta krisis,” katanya.-BH Online