KUALA LUMPUR: Sebanyak RM103.3 juta dibelanjakan sehingga September 2026 bagi pelaksanaan penuh Dasar Gaji Progresif (DGP), dengan sebahagian besar peruntukan digunakan untuk pembayaran insentif kepada majikan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata insentif itu dibayar secara bulanan kepada majikan yang melaksanakan kenaikan gaji pekerja sehingga Disember 2027.
Katanya, sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi menyokong pelaksanaan penuh DGP dari 2025 hingga 2027, dengan sasaran penyertaan seramai 50,000 pekerja.null
“Sehingga 31 Disember 2025, seramai 4,025 majikan membabitkan 51,363 pekerja menyertai DGP dan memenuhi syarat kenaikan gaji, sekali gus melepasi sasaran penyertaan ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Kertas Putih Cadangan Pelaksanaan DGP.
Suhaizan ingin mengetahui pelaksanaan projek rintis termasuk jumlah majikan dan pekerja yang telah menyertai, jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan serta peningkatan gaji yang telah dicapai oleh pekerja.
Akmal Nasrullah berkata, kajian impak pelaksanaan penuh DGP sedang dilaksanakan ketika ini bagi meneliti pencapaian dan keperluan untuk memperluas pelaksanaan projek berkenaan pada masa akan datang.
Menurutnya, projek rintis DGP telah dilaksanakan bermula Jun hingga Ogos 2024 bagi menilai kesediaan dasar dan sistem sebelum pelaksanaan penuh inisiatif berkenaan.
“Seramai 756 majikan membabitkan 3,710 pekerja telah menyertai projek rintis DGP.
“Projek rintis DGP telah mencapai objektif untuk meningkatkan pertumbuhan kadar gaji pekerja yang dibuktikan dengan peningkatan gaji penengah pekerja selepas penyertaan DGP,” katanya.
Katanya, bagi pekerja peringkat permulaan yang menyertai DGP pada 2025, gaji penengah meningkat daripada RM1,900 kepada RM2,200 sebulan, iaitu kenaikan RM300 atau 15.79 peratus.
Bagi pekerja bukan peringkat permulaan pula, gaji penengah meningkat daripada RM2,199.15 kepada RM2,438 sebulan, bersamaan kenaikan RM238.86 atau 10.86 peratus.
“Sehingga September 2026, sebanyak RM103.3 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan penuh DGP dengan sebahagian besar digunakan untuk pembayaran insentif kepada majikan,” katanya.-BH Online

