Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menggunakan model pembiayaan hibrid bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), sebaliknya akan melaksanakannya menerusi kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) dengan pembida yang berjaya menanggung sepenuhnya kos pembinaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata projek lebuh raya sepanjang 122 kilometer itu perlu dilihat secara menyeluruh bersama pelbagai projek infrastruktur yang sudah diumumkan dan dilaksanakan kerajaan.

“Pembiayaan hibrid sesuatu yang baharu. Bagaimanapun, LPT3 perlu dilihat bersama semua projek infrastruktur yang sudah diumumkan dan dilaksanakan kerajaan.

“Setakat ini, tiada cadangan pembiayaan hibrid dikemukakan,” katanya ketika pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang ingin mengetahui mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan kaedah pembiayaan seperti projek pelebaran trafik Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang.

Wan Hassan merujuk model pembiayaan hibrid di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang membabitkan 60 peratus pembiayaan kerajaan, manakala baki 40 peratus dibiayai institusi seperti PLUS Malaysia Bhd.

Beliau turut mempersoalkan faktor yang menghalang kerajaan daripada menggunakan model sama bagi projek LPT3.

Ahmad berkata, kerajaan perlu mengambil kira pelaburan sedia ada dalam projek infrastruktur pengangkutan utama yang memberi perkhidmatan kepada penduduk Pantai Timur sebelum menentukan kaedah pembiayaan LPT3.

Antara projek berkenaan ialah Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bernilai RM2.3 bilion yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dan disasarkan siap pada akhir 2027.

Selain itu, projek Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) bernilai RM7.7 bilion turut dibiayai kerajaan tanpa mengenakan tol, dengan jangkaan siap pada pertengahan 2028.

Beliau juga menjelaskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM52.43 bilion sebagai sebahagian daripada program pembangunan pengangkutan kerajaan.

Menurutnya, kajian awal dijalankan antara 2020 hingga 2022 menganggarkan kos pembinaan LPT3 sebanyak RM9.8 bilion, namun kos itu dijangka melebihi RM10 bilion berdasarkan keadaan semasa.

Katanya, kerajaan memutuskan supaya LPT3 dilaksanakan menerusi proses Permintaan Cadangan (RFP) secara kompetitif di bawah model PPP.

Kementerian Kerja Raya sudah mengemukakan Penyata Keperluan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad berkata, UKAS masih menyediakan dokumen RFP sebelum cadangan projek itu dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan.

LPT3 yang dicadangkan itu akan menghubungkan Kampung Gemuruh di Terengganu dengan Tunjong di Kelantan, sekali gus melengkapkan rangkaian Lebuhraya Pantai Timur sedia ada. -BH Online