Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh keupayaan membangunkan teknologi sendiri dan tidak hanya bergantung kepada import serta penggunaan teknologi dari negara luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata negara sememangnya perlu mempelajari dan mengambil teknologi terbaik dari Barat mahu pun Timur, namun penggunaannya perlu disesuaikan dengan keperluan domestik serta kepentingan nasional.

Beliau berkata, pendekatan mengambil teknologi tanpa mengambil kira perbezaan iklim, persekitaran dan keutamaan tempatan antara faktor yang menyebabkan kelemahan dalam pembangunan bandar, termasuk bandar moden.

“Kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang bukan sekadar mengimport dan menggunakan teknologi.

“Ya, kita perlu belajar dan mengambil teknologi terbaik dari Barat mahu pun Timur, tetapi kita mesti sentiasa ingat bahawa teknologi itu perlu disesuaikan dengan keperluan domestik dan nasional kita sendiri,” katanya ketika merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini. 

Hadir sama, Menteri Kerjaya Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Pengerusi QUBE International, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali.

Bertemakan “Melangkaui Batasan” ia menampilkan lebih daripada 110 pempamer dari hampir 10 negara dan wilayah. 

Anwar berkata, pembangunan teknologi tempatan perlu diperkasakan supaya negara bukan saja mampu menyesuaikan dan mengeluarkan teknologi sendiri, malah berupaya mengeksport teknologi yang berjaya dikuasai.

Katanya, pendekatan pembangunan bandar di negara ini juga perlu mengambil kira perbezaan iklim, persekitaran dan keutamaan masyarakat tempatan, bukannya meniru sepenuhnya model bandar di negara lain.

“Kuala Lumpur tidak boleh disamakan dengan London atau New York. 

“Pada pandangan saya, pendekatan sedemikian tidak masuk akal kerana kita mempunyai iklim, persekitaran dan keutamaan yang berbeza.

“Oleh itu, kita memerlukan perancangan dan strategi yang berbeza,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, industri dan rakan teknologi perlu diperkukuh bagi menterjemahkan inovasi kepada hasil praktikal, selain membangunkan keupayaan industri tempatan.

“Syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), juga perlu diberikan akses kepada pengetahuan, latihan, teknologi serta peluang perniagaan supaya tidak ketinggalan dalam transformasi industri pembinaan.

“Kita juga perlu melabur dalam pembangunan modal insan.

“Tenaga kerja sektor pembinaan pada masa hadapan juga memerlukan kompetensi baharu dalam reka bentuk digital, automasi, pembuatan termaju, robotik serta proses pembinaan berasaskan teknologi masa hadapan,” katanya.-BH Online