Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PELABUHAN KLANG: Kementerian Kewangan perlu mempertimbangkan penyediaan lebih banyak insentif bagi menarik syarikat antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai hab pusat pengedaran global mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelaburan seumpama itu bukan sahaja mampu memperkukuh sektor logistik negara, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana manfaat ekonomi lebih luas.

Beliau berkata, industri berkenaan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara dan wajar diberi perhatian menerusi insentif bersesuaian.

“Industri ini sangat penting. Kita berharap Kementerian Kewangan dapat mengiktiraf kepentingannya kepada negara dan menyediakan lebih banyak insentif bagi menarik jenama global menubuhkan pusat pengedaran mereka di Malaysia,” katanya pada majlis pembukaan Pusat Pengedaran Global Daiso di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata dan Pengerusi Kumpulan Daiso Malaysia, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Loke berkata, pelaburan Daiso membuktikan keupayaan Malaysia menarik operasi logistik antarabangsa berskala besar, disokong kemudahan pelabuhan dan infrastruktur pengangkutan negara.

Beliau berkata, pusat logistik milik peruncit Jepun itu yang berkeluasan hampir 550,000 kaki persegi di Pulau Indah adalah hab logistik terbesar syarikat berkenaan setakat ini.

“Kemudahan itu dijangka mengendalikan lebih 4,600 kontena keluar setiap tahun bagi memenuhi keperluan 27 negara dan wilayah di Asia, Timur Tengah, Australia serta benua Amerika,” katanya.

Loke berkata, pelaburan berskala besar seumpama itu memberikan manfaat ekonomi yang melangkaui pembinaan gudang dan pusat pengedaran semata-mata.

“Pertama, ia membabitkan pelaburan besar untuk membangunkan gudang dan pusat pengedaran sebesar itu.

“Kedua, terdapat manfaat limpahan daripada pelaburan berkenaan menerusi pewujudan peluang pekerjaan dan lebih penting, memperkukuh keseluruhan ekosistem logistik negara khususnya operasi pelabuhan,” katanya.

Loke berkata, penggunaan sistem automasi gudang canggih dan pengurusan rantaian bekalan bersepadu turut membantu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Beliau berkata, antaranya jurutera logistik, pakar sistem dan profesional dalam bidang rantaian bekalan.

“Keputusan Daiso memilih lokasi berhampiran Pelabuhan Klang untuk menubuhkan pusat berkenaan mencerminkan keyakinan syarikat itu terhadap kecekapan infrastruktur maritim Malaysia,” katanya.

Beliau mengimbas kembali pertanyaan Anwar sama ada pelabuhan di Malaysia cukup cekap untuk memastikan urusan keluar masuk kapal dan pengendalian kargo dapat dilakukan dalam tempoh singkat.

“Saya memberitahu Perdana Menteri, mengapa tidak bertanya kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Daiso Industries, Seiji Yano. Beliau boleh memberikan pengesahan.

“Saya yakin jika pelabuhan kita tidak cekap, Daiso tidak akan membuat pelaburan sebesar ini untuk membangunkan pusat pengedaran globalnya di sini,” katanya. 

Loke turut yakin pusat pengedaran itu mampu mencapai kapasiti penuh dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus membuka peluang kepada pengembangan operasi pada masa depan.

“Saya yakin pusat pengedaran ini akan dipenuhi sepenuhnya dan mencapai kapasiti maksimum pada masa singkat.

“Mungkin dalam beberapa tahun lagi, anda perlu mempertimbangkan pengembangan seterusnya dan mendapatkan lebih banyak tanah untuk membina pusat pengedaran yang lebih besar,” katanya.

Loke berkata, kerajaan akan terus menambah baik kecekapan pelabuhan, memperluas rangkaian jalan raya dan kereta api serta mendigitalkan dokumentasi perdagangan bagi memastikan rangkaian logistik Malaysia kekal berdaya saing.-BH Online