ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Turkiye bagi mengadakan lawatan kerja empat hari menjelang Forum TRT World 2026 yang akan membuka tirainya di Pusat Kongres Istanbul, esok.
Ahmad Zahid bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan delegasi Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul kira-kira jam 3.30 pagi waktu tempatan (jam 8.30 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan mereka disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Adlan Mohd Shaffieq.
Ahmad Zahid terlebih dahulu akan mempengerusikan mesyuarat pra-majlis bersama pegawai perwakilan Malaysia dan delegasi negara bagi memuktamadkan persiapan sepanjang lawatan berkenaan.
Pagi esok, beliau dijadual menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Pengajian Tinggi Turkiye, Prof Dr Erol Ozvar, sebelum menghadiri majlis pembukaan forum yang akan disempurnakan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Beliau turut dijadual menyampaikan ucapan pada sesi bertajuk ‘Turkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor’.
Pada Sabtu ini, Ahmad Zahid akan menyampaikan syarahan di Universiti Ibn Haldun dan menghadiri sesi libat urus bersama badan pemikir, Foundation for Political, Economic and Social Research, bagi membincangkan isu semasa geopolitik serta geoekonomi.
Ahmad Zahid turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Tarek Mitri.
Beliau juga dijangka menyaksikan majlis pemeteraian Surat Kerjasama (LoC) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Universiti Sabanci dan Universiti Teknikal Yildiz.
Majlis itu turut dihadiri 17 pelajar tajaan MARA yang sedang melanjutkan pengajian di Turkiye.
Malaysia dan Turkiye menjalinkan hubungan diplomatik pada 17 Jun 1964 dan sejak itu mengekalkan hubungan erat dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan serta pendidikan.
Malaysia juga antara rakan dagang terbesar Turkiye di Asia Tenggara dengan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kini mencecah AS$5.6 bilion dan sasaran meningkat kepada AS$10 bilion menjelang 2030 susulan persetujuan dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Erdogan pada Januari lalu. -BH Online
