Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan rantaian bekalan barangan keperluan dalam negara kekal stabil serta tidak terganggu walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan ancaman musim tengkujuh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah persediaan menyeluruh sudah diambil melalui penyelarasan pelbagai agensi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Mengenai tindakan beberapa negara luar menasihatkan rakyat mereka membuat simpanan stok, Armizan berkata, situasi di Malaysia berbeza kerana ia turut dipengaruhi faktor cuaca ekstrem seperti musim sejuk dan taufan di negara berkenaan.

“Kerajaan mengambil perhatian serius terhadap perkembangan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada bekalan antarabangsa.

“Namun, melalui pendekatan merentasi pelbagai pihak diselaraskan MTEN, kita berupaya memastikan rantaian bekalan dalam negara tidak terganggu. Model sedia ada ini akan terus diguna pakai,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian ‘Tealive Sparkling Crafted Tea-Prebiotic Soda di sini, hari ini.

Armizan berkata, rakyat diminta supaya tidak membuat pembelian panik kerana kerajaan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita tidak melihat ini sebagai isu terpencil, kita perlu sentiasa bersiap siaga, namun pada masa sama kita harap rakyat tidak panik. 

“Alhamdulillah, sehingga kini tiada isu besar berhubung gangguan bekalan dalam negara,” katanya.

Armizan berkata, model penyelarasan sama turut diguna pakai bagi mendepani cabaran bekalan sepanjang musim tengkujuh yang bakal tiba.

“KPDN sudah menginstitusikan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) KPDN bagi memantau keterjaminan bekalan secara berterusan.

“Jawatankuasa ini tidak hanya bertindak secara responsif apabila timbul isu, sebaliknya ia melihat kepada keterjaminan bekalan sepanjang masa dengan mesyuarat berkala diadakan dua bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu juga akan mengaktifkan semua platform sedia ada untuk memastikan rakyat tidak menghadapi kesukaran mendapatkan barangan keperluan. -BH Online