Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti sebarang cadangan dalam meneroka pendekatan lebih tersusun bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada peringkat pertumbuhan, khususnya dalam memperkukuh kapasiti kewangan, tenaga kerja dan keupayaan pengurusan bagi membolehkan syarikat tempatan merebut peluang perniagaan lebih besar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata cadangan itu wajar diberi perhatian melalui perbincangan konstruktif bersama kementerian, agensi berkaitan dan peserta industri.

Beliau berkata, pendekatan yang dicadangkan perlu dinilai berdasarkan meritnya dengan mengambil kira inisiatif sedia ada serta keperluan sebenar perniagaan, selain mendapatkan pandangan langsung daripada usahawan yang berdepan cabaran mengembangkan syarikat masing-masing.

“Tumpuan terhadap pembangunan keusahawanan tidak seharusnya terhenti pada usaha membantu perniagaan baharu memulakan operasi, sebaliknya perlu diperluas kepada keupayaan syarikat meneruskan pertumbuhan selepas berjaya membina kedudukan dalam pasaran,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Pemasaran Dunia (WMS) 2026, di sini, hari ini.

Fadillah turut memberi gambaran mengenai sesebuah perusahaan tempatan yang selepas bertahun-tahun berusaha akhirnya berjaya memperoleh kontrak besar atau peluang memasuki pasaran antarabangsa, namun kejayaan itu turut membawa keperluan baharu yang perlu dipenuhi.

Katanya, syarikat berkenaan mungkin perlu mengambil lebih ramai pekerja, memperkukuh keupayaan pengurusan, melabur dalam peralatan serta mendapatkan pembiayaan tambahan bagi memenuhi komitmen yang dipersetujui.

“Keadaan itu menunjukkan peluang yang mampu membawa sesebuah perniagaan ke tahap lebih tinggi juga boleh menguji keupayaannya untuk mengekalkan pertumbuhan, sekali gus menuntut kapasiti, daya tahan dan keyakinan yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata, apabila perusahaan tempatan berkembang secara mampan, manfaatnya tidak hanya dinikmati pemilik perniagaan, malah berupaya membuka peluang pekerjaan kepada anak muda, memberi kepastian pendapatan kepada pembekal tempatan serta mewujudkan kerjaya bermakna dalam komuniti.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, perkembangan platform digital membuka ruang kepada perusahaan kecil Malaysia untuk mendapatkan pelanggan di seluruh dunia tanpa perlu mempunyai kehadiran fizikal di luar negara.

Bagaimanapun, kemudahan sama turut membolehkan syarikat dari negara lain bersaing mendapatkan pelanggan di Malaysia, menjadikan peluang pasaran dan persaingan sebagai dua perkara yang bergerak seiring.

Justeru, beliau menegaskan kepentingan pembelajaran berterusan dalam kalangan pemimpin dan pekerja bagi memastikan perniagaan kekal relevan ketika perubahan berlaku dengan pantas.

“Usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing perusahaan tempatan memerlukan persekitaran yang menyokong melalui penyediaan infrastruktur, pelaburan, pendidikan serta pembangunan bakat, manakala syarikat pula perlu bersedia melabur dalam pekerja dan menerima pakai kaedah kerja baharu,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan yang baik juga bukan sekadar bergantung kepada keupayaan membuat keputusan, sebaliknya perlu disertai kesediaan mendengar pandangan pekerja, mengiktiraf idea bernas dan memberi ruang kepada mereka untuk menyumbang.

Menyentuh penggunaan teknologi, Fadillah berkata, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu menawarkan peluang kepada PKS untuk meningkatkan kecekapan, inovasi serta daya saing, namun penerapannya perlu berasaskan keperluan sebenar perniagaan.

Beliau berkata, penggunaan teknologi tidak seharusnya dilakukan semata-mata kerana kemudahannya tersedia, sebaliknya perlu membantu menyelesaikan masalah dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

Sebagai contoh, katanya, inovasi bagi perniagaan kecil tidak semestinya memerlukan teknologi paling canggih, sebaliknya boleh bermula dengan mengurangkan masa pekerja melaksanakan tugas pentadbiran berulang supaya lebih banyak masa dapat diberikan kepada pelanggan.

“Penggunaan AI tidak melepaskan pemimpin perniagaan daripada tanggungjawab membuat pertimbangan sewajarnya, menjaga integriti serta mengambil kira kesan keputusan terhadap kehidupan masyarakat,” katanya. -BH Online