MELAKA: Selepas tujuh tahun menanti sejak projek diluluskan, pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak (WCH) Hospital Melaka akhirnya bakal menjadi kenyataan dengan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek bernilai RM723.9 juta itu, hari ini.
Projek dijangka siap 2031 itu bakal meningkatkan kapasiti Hospital Melaka kepada 1,619 katil, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kesihatan khususnya untuk wanita, ibu dan kanak-kanak di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penyerahan SST menandakan satu lagi langkah penting dalam merealisasikan projek yang sudah lama dinantikan penduduk Melaka.
Beliau berkata, daripada keseluruhan kos projek RM723.9 juta, sebanyak RM609.6 juta membabitkan kerja pembinaan, manakala selebihnya merangkumi perolehan aset perubatan dan bukan perubatan.
“Projek itu membabitkan pembinaan blok baharu berkapasiti 476 katil, sekali gus meningkatkan jumlah katil Hospital Melaka daripada 1,143 kepada 1,619 dan proses prapelaksanaan projek ini sudah mengambil masa panjang dan kita memahami keperluan untuk menyegerakan pembinaannya.
“Ini bukan mudah, justeru kita mahu mempercepatkan pelaksanaan projek ini tanpa sebarang lanjutan masa, sebaliknya kita mahu projek ini disiapkan lebih awal daripada jadual,” katanya selepas menyaksikan Penyerahan SST projek berkenaan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Hospital Melaka di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mahu sebarang kelewatan atau perubahan skop projek secara sewenang-wenangnya yang boleh menjejaskan tempoh sasaran.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan perunding perlu memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut jadual serta spesifikasi kontrak.
“Pihak pengguna, khususnya hospital tidak dibenarkan mengubah skop atau spesifikasi projek sesuka hati dan sebarang perubahan kritikal wajib melalui syor Ketua Pengarah Kesihatan dan kelulusan bertulis Ketua Setiausaha KKM.
“Kita sudah mengambil masa panjang dan tidak mahu lagi sebarang halangan menjejaskan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan blok baharu itu akan dilaksanakan tanpa menjejaskan operasi Hospital Melaka kerana ia tidak memerlukan proses pemindahan sementara perkhidmatan atau ‘decanting’.
Katanya, skop pembangunan merangkumi pembinaan blok baharu, infrastruktur mekanikal dan elektrikal, pembekalan peralatan perubatan serta bukan perubatan moden, selain kemudahan tempat letak kereta bertingkat.
“Penambahan 476 katil ini penting bagi membantu mengurangkan kesesakan di hospital, memendekkan tempoh menunggu kemasukan pesakit ke wad dan mengurangkan kepadatan di wad sedia ada.
“Pada masa sama, operasi hospital tidak akan terganggu sepanjang tempoh pembinaan kerana kita tidak memerlukan proses pemindahan sementara perkhidmatan,” katanya. -BH Online

