LABUAN: Selepas menempuh penerbangan lebih 3,500 kilometer dari negara pengeluarnya, pesawat tempur ringan baharu milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan, selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan di sini, hari ini.
Detik bersejarah ketibaan pesawat pertama berkenaan di ruang udara negara diserikan dengan penerbangan formasi pengiring khas membabitkan enam pesawat pejuang TUDM sedia ada iaitu dua Sukhoi SU-30MKM, dua F/A-18D Hornet dan dua pesawat BAE Hawk.
Malaysia menandatangani perjanjian perolehan 18 pesawat berkenaan pada 2023 bagi memainkan peranan utama sebagai pesawat latihan pejuang lanjutan serta operasi tempur ringan, sekali gus menggantikan armada pesawat Hawk yang dijadual dinyahtauliahkan sepenuhnya menjelang 2028.
Pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 dirancang untuk ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dan sebahagiannya di Labuan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,yang menyaksikan majlis penghantaran itu, berkata perolehan bernilai hampir RM4 bilion itu menandakan penerimaan kumpulan pertama daripada keseluruhan 18 pesawat FA-50M yang diperoleh Malaysia daripada Korea Aerospace Industries (KAI).
“Sebelum April 2027, sebanyak enam buah pesawat akan diterima, manakala baki keseluruhan daripada 18 pesawat ini dijangka diterima sepenuhnya pada Mac 2028.
“Proses penghantaran hari ini belum membabitkan penyerahan rasmi kepada TUDM kerana pesawat berkenaan masih di bawah tanggungjawab KAI untuk menjalani fasa penyesuaian serta ujian penerbangan, sebelum majlis penyerahan rasmi disempurnakan selewat-lewatnya sebelum pertengahan November ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan, di sini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali;cPanglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris serta pegawai kanan ATM dan awam.
Mohamed Khaled berkata, dari aspek kesiagaan operasi, TUDM menyediakan 209 perjawatan bagi mengoperasikan pesawat baharu itu di bawah naungan Skuadron No 15, dengan 127 jawatan membabitkan jurutera dan juruterbang sudah diisi, manakala baki kekosongan akan dilengkapkan secara berperingkat.
“Pesawat FA-50M Block 20 yang dibeli Malaysia adalah varian tempur terkini keluaran KAI dengan keupayaan lebih tinggi berbanding varian terdahulu, lengkap dengan sistem avionik canggih serta persenjataan peluru berpandu moden bagi misi serangan udara ke udara (air-to-air) mahupun udara ke darat (air-to-ground),” katanya
Terdahulu dalam majlis itu, Menteri Pertahanan menerima taklimat daripada Pegawai Memerintah No15 Skuadron, Mejar Mohd Jamil Awang mengenai keupayaan pesawat FA-50M dan penghantaran di Malaysia, sebelum meninjau pesawat serta berinteraksi bersama juruterbang yang terbabit dalam penerbangan berkenaan.
Penghantaran pesawat FA-50M bukan sekadar memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara, malah menjadi pemangkin pembangunan modal insan TUDM melalui latihan dan penguasaan teknologi penerbangan tempur bagi melahirkan generasi juruterbang pesawat pejuang masa hadapan yang berkemahiran tinggi. -BH Online

