KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti keperluan menambah baik peruntukan perundangan sedia ada bagi mengatasi isu kenderaan terbiar.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata inisiatif bersama Kementerian Pengangkutan (MoT) itu bertujuan memperjelas kuasa serta mempercepatkan proses penguatkuasaaan dan pelupusan dengan tetap memelihara hak pemilik kenderaan.
Pendekatan itu, katanya, bertujuan mengubah pengurusan kenderaan terbiar daripada model penguatkuasaan semata-mata kepada pendekatan penyelesaian menyeluruh yang mengimbangi kuasa undang-undang, perlindungan hak rakyat dan tanggungjawab sosial pemilik.
“KPKT dengan kerjasama MoT juga sedang menambah baik pendekatan dilaksanakan melalui penggunaan pelbagai instrumen perundangan boleh dipertimbangkan.
“Ini termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta memperkenalkan kaedah pelupusan kenderaan secara sukarela lebih sistematik bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan usang secara sah.
“KPKT juga sedang menambah baik Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar di Kawasan Operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperkenalkan pada 2020.
“Ini bertujuan memperkemas tatacara pengesanan, pengalihan, penyimpanan dan pelupusan kenderaan terbiar berdasarkan kuasa tersedia di bawah undang-undang berkaitan, termasuk Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai perancangan KPKT menggubal atau meminda perundangan sedia ada bagi menangani isu kenderaan terbiar di seluruh negara.
Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu dijangka dilaksanakan PBT di Semenanjung sebelum akhir tahun ini, manakala kaedah pelaksanaan di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan pihak berkuasa berkenaan mengikut kerangka undang-undang terpakai.
“Kerajaan menegaskan pendekatan dalam isu pengurusan kenderaan terbiar bukan sekadar mengeluarkan garis panduan, tetapi membabitkan rangka tindakan menyeluruh berpaksikan tadbir urus baik, bukti lapangan, penyelarasan antara agensi serta penambahbaikan proses kerja praktikal untuk dilaksanakan PBT.
“Kerajaan yakin dengan sokongan semua pihak, termasuk MoT dan Polis Diraja Malaysia, isu kenderaan terbiar dapat ditangani dengan lebih berkesan dan holistik,” katanya. -BH Online
