AYER KEROH: FELCRA Berhad diarah menyediakan bantuan khas kepada peserta kategori berpendapatan rendah (B40) yang terbabit dalam program tanam semula bagi meringankan beban kewangan mereka sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bantuan itu perlu diberi keutamaan menjelang sambutan Aidilfitri pada awal tahun depan, ketika peserta memerlukan sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kebajikan peserta perlu terus dipelihara meskipun mereka belum memperoleh pulangan daripada hasil tanaman sepanjang tempoh pemulihan berkenaan.
“Dengan ini, saya mengarahkan FELCRA menyediakan bantuan khas sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil, dengan keutamaan khususnya ketika menjelang sambutan Aidilfitri pada awal tahun depan.
“Langkah itu mencerminkan komitmen FELCRA memastikan peserta tidak terpinggir ketika berdepan tempoh tanpa pendapatan hasil tanaman, sebaliknya terus mendapat sokongan bagi menjamin kelangsungan hidup keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pembangunan ekosistem FELCRA perlu merangkumi usaha memastikan tanah terus memberikan pulangan, ibu bapa mempunyai pendapatan mencukupi, manakala anak-anak mereka berpeluang meningkatkan kemahiran dan kebajikan keluarga terus terpelihara.
Katanya, keseimbangan ketiga-tiga aspek itu penting bagi membantu keluarga peserta meningkatkan taraf hidup serta membina masa depan yang lebih terjamin.
“Mudah-mudahan segala usaha yang kita bincangkan akan membawa kepada matlamat sama, iaitu meningkatkan pendapatan keluarga peserta,” katanya. -BH Online
