KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, atas kemenangan bersejarah beliau dalam pilihan raya presiden negara itu.
Perdana Menteri berkata, kemenangan itu memberikan mandat baharu kepada Lula untuk terus memimpin Brazil selepas melalui persaingan pilihan raya yang sengit.
Katanya, komitmen berterusan Lula terhadap keadilan sosial, usaha mengurangkan kemiskinan serta memastikan suara negara membangun didengari, bukan sahaja di Brazil, malah di peringkat antarabangsa
“Saya sentiasa menghargai persahabatan kami dan berkongsi keyakinan bahawa negara-negara Selatan Global perlu mempunyai suara lebih lantang dalam membentuk tatanan antarabangsa yang lebih adil,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Lula memenangi pilihan raya presiden Brazil bagi penggal keempat selepas menewaskan pencabarnya, Senator Flavio Bolsonaro, hari ini. Beliau mencatat sejarah memenangi jawatan itu bagi empat penggal akan kekal sehingga 2030.
Anwar berharap Malaysia dapat terus bekerjasama rapat dengan Brazil di bawah kepemimpinan Lula, khususnya dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan.
“Banyak yang boleh kita lakukan bersama, termasuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan, memajukan kerjasama antara ASEAN dan Amerika Latin serta memberikan makna lebih besar kepada perkongsian antara kedua-dua negara,” katanya. -BH Online
