Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) akan bermesyuarat semula selepas menerima pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata AGC diberikan tempoh dua minggu untuk memperincikan maklum balasnya.

“Memandangkan PSSC dianggotai ahli daripada kerajaan dan pembangkang, AGC diberikan tempoh dua minggu untuk mengemukakan maklum balasnya. Minggu depan, sebaik sahaja kita menerima jawapan mereka, saya akan mengadakan satu lagi mesyuarat PSSC.

“Ahli parti juga boleh berhubung dengan wakil masing-masing dalam jawatankuasa itu untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai isu perundangan yang terbabit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Azalina berkata, sistem yang dicadangkan itu membolehkan pelantikan Pendakwa Raya dibahaskan di Parlimen, dengan nama calon dikemukakan oleh Dewan Rakyat sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 3 Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dirujuk kepada PSSC.

Di bawah kerangka yang dicadangkan, Pendakwa Raya akan menyelia semua pendakwaan jenayah, manakala Peguam Negara berperanan sebagai penasihat undang-undang kerajaan bagi perkara selain undang-undang jenayah.

Pendakwa Raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara baginda atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Cadangan itu berbeza daripada aturan semasa, yang menyaksikan Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Minggu lalu, PSSC meminta AGC memperincikan perkara yang dibangkitkan oleh Majlis Raja-Raja untuk dibentangkan semula kepada jawatankuasa itu dalam tempoh dua minggu.

RUU berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat penuh Majlis Raja-Raja pada 14 dan 15 Oktober lalu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan kekal komited untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi.

Katanya, cadangan itu sudah dikaji secara menyeluruh dan kerajaan kekal komited untuk melaksanakan reformasi berkenaan.-BH Online