Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) tidak akan mengambil alih kuasa pendakwaan syariah negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menegaskan bahawa bidang kuasa dan tanggungjawab pihak berkuasa negeri dalam pendakwaan syariah akan terus dihormati.

Katanya, penubuhan JPSM adalah bertujuan memperkukuh penyelarasan dan menyediakan sokongan kepada institusi pendakwaan syariah negeri.null

“Antara manfaat yang disasarkan adalah peningkatan kecekapan pengurusan kes dan perluasan akses kepada latihan profesional dan kepakaran pendakwaan.

“Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan sudah meminta supaya sesi libat urus kedua diadakan dengan Majlis Agama Islam Negeri, ” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, cadangan penubuhan JPSM adalah antara kerangka pendekatan kecekapan pendakwaan syariah di negara ini.

“Sehubungan itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan akan meneruskan libat urus bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan pihak berkuasa agama negeri.

“Cadangan penubuhannya akan dibentangkan selepas mendapat maklum balas kepada Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam Jabatan Perdana Menteri sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Pemuktamadan kerangka berkenaan tertakluk kepada hasil libat urusan dan persetujuan pihak negeri serta proses pertimbangan dan kelulusan berkenaan,” katanya. 

Sebelum ini media melaporkan, Zulkifli memberitahu bahawa setakat ini sebanyak 13 negeri dan Wilayah Persekutuan sudah mengasingkan sepenuhnya fungsi pendakwaan syariah daripada Jabatan Agama Islam Negeri, manakala Sabah berada pada peringkat akhir proses penjabatan. -BH Online