Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Bahasa Melayu mempunyai masa depan yang cerah jika penggunaannya diperluas menerusi teknologi digital, kandungan kreatif dan peluang ekonomi, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, bahasa kebangsaan perlu berkembang seiring bahasa utama dunia lain, sambil mengekalkan peranannya sebagai tonggak identiti, warisan budaya dan perpaduan Malaysia.

“Saya percaya Bahasa Melayu mempunyai masa depan yang cerah jika kita berani mengubah pendekatan dan memperluas ruang penggunaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Datuk Amzan Abd Malek pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 di Padang Kota Lama, di sini hari ini.

Fadhlina berkata, bahasa mempunyai kaitan rapat dengan identiti kerana membolehkan generasi mewarisi dan menyampaikan ilmu, sejarah, nilai serta budaya, selain mencerminkan kesantunan dan kematangan masyarakat.

Katanya, usaha memartabatkan Bahasa Melayu bukan sekadar memelihara warisan, sebaliknya memastikan bahasa kebangsaan terus berfungsi sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan identiti nasional.

“Dalam era globalisasi dan dunia digital tanpa sempadan ini, Bahasa Melayu perlu terus berkembang seiring bahasa utama dunia lain bagi meningkatkan nilai ekonomi bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Beliau menambah, Bahasa Melayu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai lambang identiti nasional, tetapi juga sebagai bahasa yang mampu menyumbang kepada inovasi, penghasilan ilmu dan pembangunan ekonomi.

Fadhlina berkata, cabarannya adalah untuk memastikan bahasa itu kekal relevan kepada generasi muda, khususnya Generasi Alpha yang membesar dalam persekitaran digital yang dibentuk oleh teknologi pintar, media sosial, kandungan audiovisual dan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, golongan muda terdedah kepada bahasa bukan hanya menerusi buku teks dan bilik darjah, malah melalui video, permainan digital, animasi, muzik, kandungan penstriman dan interaksi dalam talian.

“Kita tidak boleh sekadar meminta generasi muda mencintai Bahasa Melayu. Kita perlu menjadikannya bahasa yang ingin mereka gunakan, bahasa yang mereka banggakan dan bahasa yang membolehkan mereka mencapai aspirasi,” katanya.

Beliau berkata, bahasa kebangsaan perlu mempunyai kehadiran lebih kukuh dalam landskap digital menerusi kandungan berkualiti, animasi kreatif, permainan pendidikan, video pendek berinformasi, penerbitan elektronik dan aplikasi berasaskan teknologi terkini.

Menurutnya, inisiatif itu dapat menarik minat golongan muda, selain membuka peluang memperluas penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan, industri kreatif, inovasi teknologi dan ekonomi digital.

Pada masa sama, Fadhlina menegaskan kepentingan melengkapkan golongan muda dengan keupayaan menggunakan Bahasa Melayu secara tepat, berkesan dan bertanggungjawab, khususnya ketika berkomunikasi dalam talian.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu menerusi dasar, pembangunan kurikulum dan program pendidikan, sambil menambah bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak boleh bergantung kepada kempen dan seruan awam semata-mata.

Fadhlina berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan teknologi digital dan AI menerusi Belanjawan 2027, termasuk komitmen menggerakkan kementerian, agensi dan institusi pendidikan untuk menyumbang data bahasa digital yang autentik serta beranotasi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Katanya, inisiatif itu akan membantu membangunkan sumber digital yang diperlukan bagi memperluas penggunaan Bahasa Melayu dalam aplikasi AI dan teknologi baharu lain, sekali gus memastikan bahasa itu mampu bergerak seiring perkembangan sains, ilmu pengetahuan dan kegiatan ekonomi.-BH Online