Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menyediakan khidmat kaunseling kepada pelajar yang menyerang seorang guru di sebuah sekolah swasta di bandar raya ini, sekiranya perkhidmatan berkenaan diperlukan keluarga terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya bagaimanapun tidak mahu tergesa-gesa menawarkan perkhidmatan berkenaan kerana keluarga pelajar terbabit masih berdepan keadaan sukar susulan kejadian itu dan siasatan polis yang sedang berjalan.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa keluarga mendapatkan perkhidmatan daripada kita kerana mungkin ia boleh mengganggu anak-anak ini dan keluarga, tambahan pula siasatan polis masih dijalankan.

“Bagaimanapun, kita sudah memaklumkan bahawa kita mempunyai perkhidmatan sedemikian dan bersedia membantu sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas program “Pusak Tembun To The World” di Muzium Kebudayaan Borneo, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, guru wanita yang cuba merampas senjata tajam daripada pelajar lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 8.03 pagi itu.

Maklumat awal mendapati pelajar terbabit membawa mercun sebelum dipercayai mencederakan guru berkenaan menggunakan kapak, manakala mangsa dilaporkan mengalami luka pada tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, JKM memandang serius kejadian berkenaan, terutama dari aspek kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak serta keluarga yang terbabit.

Nancy berkata, pelajar terbabit juga tidak boleh ditempatkan di institusi JKM hanya atas permintaan pihak tertentu sekiranya masih mempunyai keluarga yang mampu menjaganya.

“Kalau dia ada keluarga, lebih baik dia bersama keluarganya. Kita tidak akan mengambil kanak-kanak yang mempunyai keluarga sendiri melainkan ada sebab-sebab tertentu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya seseorang kanak-kanak tidak mempunyai ibu bapa atau keluarga terdekat yang boleh menjaganya, JKM biasanya akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menentukan bentuk perlindungan yang sesuai.

Bagaimanapun, dalam kes terbabit, Nancy berkata, keluarga pelajar berkenaan masih ada dan pihaknya menghormati keperluan keluarga untuk bersama serta menenangkan keadaan selepas kejadian.

“Kadang-kadang apabila sesuatu berlaku, kita perlukan masa untuk benar-benar berfikir apa yang menyebabkan keadaan itu berlaku. Jadi kita serahkan dahulu kepada keluarga,” katanya.

Mengenai kebajikan guru yang cedera serta rakan sekelas yang mungkin mengalami trauma, Nancy berkata, perkara itu turut diberi perhatian, namun pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai kaunselor masing-masing.

Beliau berkata, kaunselor pendidikan sewajarnya menjadi pihak utama memberikan sokongan psikososial kepada guru dan pelajar yang terkesan, manakala JKM bersedia bekerjasama jika bantuan tambahan diperlukan.

“Kita menghormati pihak KPM kerana mereka mempunyai kaunselor sendiri dan kadang-kadang kita bekerjasama. Namun, kita memberi peluang kepada pihak yang lebih berautoriti untuk mengendalikan perkara itu terlebih dahulu.

“Kalau mereka memerlukan kami untuk membantu, insya-Allah kami akan bantu. Kami sentiasa bersedia,” katanya. -BH Online