KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperkukuh keupayaan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, dengan memperluas liputannya ke jalan biasa selain lebuh raya bagi meningkatkan kemudahan dan pengalaman pengguna dalam mendapatkan maklumat trafik.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata usaha itu mengambil kira maklum balas orang ramai yang mahukan aplikasi berkenaan dipertingkatkan agar mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata TuJu yang dibangunkan menerusi kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada asalnya direka khusus untuk memantau aliran trafik serta paparan kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya.
“Saya setuju ramai yang menyatakan perkhidmatan ini perlu kita perkukuh lagi dan itu dalam perhatian kita. Aplikasi ini sedang dalam proses diperkembang supaya liputannya lebih luas, bukan sahaja di lebuh raya tetapi juga bagi kelancaran trafik di laluan biasa.
“Pihak GovTech akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi membina dan mempertingkat keupayaan aplikasi tempatan ini,” katanya menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung kesediaan dan prestasi aplikasi tempatan berbanding perkhidmatan navigasi asing pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung larangan penggunaan aplikasi Waze, Gobind berkata larangan itu khusus buat penjawat awam semasa menjalankan urusan rasmi kerajaan atas faktor keselamatan data dan risiko perundangan.
Beliau berkata larangan itu tidak melibatkan orang awam yang menggunakan aplikasi berkenaan bagi penggunaan peribadi.
Gobind berkata terma perkhidmatan Waze tertakluk pada bidang kuasa undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan data pergerakan serta kesukaran mendapatkan pembelaan undang-undang sekiranya timbul isu berkaitan.
“Daripada maklumat yang saya dapat, walaupun kita tidak menggunakan aplikasi Waze secara aktif, pergerakan kita masih dapat ditentukan melalui aplikasi itu,” katanya.
Bagaimanapun, Gobind berkata kerajaan tidak mengehadkan penjawat awam kepada penggunaan aplikasi navigasi tempatan sahaja, sebaliknya mereka masih boleh menggunakan perkhidmatan lain termasuk Google Maps bagi urusan rasmi.
Menjawab soalan asal Young Syefura mengenai pencapaian GovTech setakat ini, beliau berkata sebanyak 62 perkhidmatan daripada 22 agensi kerajaan telah diintegrasikan di bawah aplikasi MyGov Malaysia setakat 8 Okt lepas.
Beliau berkata aplikasi itu telah merekodkan lebih 3.19 juta muat turun dan mempunyai lebih 3.01 juta pengguna aktif, yang membolehkan pelbagai urusan seperti pembayaran saman, penggantian MyKad dan semakan Wang Tak Dituntut (WTD) dilakukan secara dalam talian.– BERNAMA
