KUALA LUMPUR: Pendedahan kewangan kerajaan terhadap Digital Nasional Bhd (DNB) berkurangan kepada sifar susulan penyempurnaan kemudahan pembiayaannya yang bernilai RM5.2 bilion, dengan syarikat itu dijangka membiayai diri sendiri sepenuhnya pada masa hadapan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kerajaan tidak lagi mempunyai sebarang liabiliti berkaitan dengan DNB setakat akhir September 2026 dan menolak sebarang kemungkinan pemberian seterusnya bantuan kewangan kepada syarikat tersebut.
“Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa bermula akhir September, kerajaan tidak lagi menanggung sebarang liabiliti. Kami amat bersyukur kerana pihak pengendali rangkaian mudah alih telah menunaikan komitmen seperti yang dijanjikan.
“Hari ini benar-benar menunjukkan petanda keyakinan daripada sektor perbankan bahawa DNB berada di landasan yang betul,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen antara DNB dengan lima institusi kewangan, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan daripada DNB, pembiayaan yang dimuktamadkan pada 29 September 2026 itu telah membiayai semula kemudahan kredit pusingan DNB yang dijamin kerajaan, di samping mewujudkan struktur pembiayaan jangka panjang yang mampan bagi menyokong pertumbuhan syarikat pada masa depan.
Lima institusi kewangan yang terlibat ialah Maybank Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.
Fahmi berkata, pembiayaan itu juga akan berfungsi sebagai pemangkin untuk memperkukuh rangkaian 5G pertama negara, sekali gus membolehkan DNB melaksanakan pembaharuan teknologi memandangkan teknologi dan peralatan telekomunikasi telah berkembang sejak syarikat itu mula beroperasi.
Beliau berkata, pembelian peralatan hasil daripada kemudahan pembiayaan tersebut akan memberi manfaat kepada pengguna runcit dan perniagaan, termasuk kilang, pelabuhan, dan gudang, sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi yang lebih meluas.
Memandangkan tiga syarikat telekomunikasi utama negara menggunakan rangkaian DNB, beliau berkata hala tuju dan prospek pertumbuhan syarikat itu adalah jelas.
Terdahulu menerusi ucapannya, Fahmi menggesa DNB supaya meningkatkan usaha untuk mendekati syarikat multinasional, dengan menonjolkan nilai infrastruktur dan teknologi yang boleh diyakini serta komunikasi selamat.
Beliau berkata, matlamat Malaysia adalah untuk menjadi destinasi utama bagi teknologi telekomunikasi terkini, serta menjadi contoh bagaimana teknologi yang saling boleh beroperasi dapat berfungsi secara berdampingan bagi menyokong perniagaan.-BERNAMA
