Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga di bawah Sektor Orang Kurang Upaya (OKU) telah memulakan sesi perbincangan strategik ke arah pembangunan Pelan Strategik OKU KKM.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata di bawah pelan itu, KKM sedang giat merangka pembentukan sebuah Pangkalan Data OKU (OKU Registry) peringkat kebangsaan, dengan mengintegrasikan sepenuhnya data dan profil keperluan komuniti palsi serebrum (CP).

“Langkah itu membuktikan bahawa suara anda didengari dan sedang diterjemahkan ke dalam tindakan berstruktur pada peringkat kementerian bagi merancang sistem penyampaian perkhidmatan yang dipacu oleh data sebenar.

“Oleh sebab itu, pendekatan seperti CP Living Library dalam simposium ini amat signifikan kerana pengetahuan klinikal memberikan kita bukti perubatan dan sains, namun pengalaman hidup sebenar anda semua memberikan kami perspektif kemanusiaan dan empati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pembukaan Simposium Palsi Serebrum 2026 anjuran Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS) di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut rekod KKM, sebanyak 1,076 kes kanak-kanak CP telah didaftarkan serta menerima inisiatif intervensi awal di pelbagai klinik kesihatan di seluruh negara bermula dari 2016 hingga 2025. 

Ketika ditemui media selepas itu, Dzulkefly berkata pembangunan pelan strategik berkenaan masih pada peringkat awal, namun penting bagi memastikan keperluan individu dengan CP terus diberi perhatian sepanjang hayat mereka.

Beliau berkata CP bukan sahaja memerlukan penjagaan ketika peringkat kanak-kanak, malah sokongan berterusan ketika individu berkenaan memasuki alam remaja dan dewasa.

“Ini satu keperluan sepanjang hayat atau lifelong. Kita mahu memastikan golongan ini mendapat peluang untuk menjalani kehidupan seperti orang lain, termasuk dalam aspek kerjaya, hubungan sosial dan mendirikan rumah tangga.

“Cabaran kita adalah untuk memastikan mereka tidak terhenti atau terpinggir daripada sistem sokongan selepas tamat persekolahan. Mereka bukan sekadar memerlukan empati dan simpati, sebaliknya ekosistem yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal, bermaruah dan inklusif sepanjang hayat,” katanya.

Mengulas mengenai jangkaan tempoh pembangunan Pangkalan Data OKU (OKU Registry) itu, Dzulkefly berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan melalui pendekatan penambahbaikan berterusan.

Beliau berkata proses pengumpulan data perlu dimulakan secara teratur dan berstruktur bagi memastikan pangkalan data yang dibangunkan mempunyai set data yang berkualiti serta dapat menyokong perancangan perkhidmatan lebih berkesan.– BERNAMA