Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan mengkaji data gelandangan yang dikumpul melalui siri operasi penguatkuasaan sejak tiga tahun lalu, dalam usaha mengenal pasti penyelesaian terbaik untuk menoktahkan isu berkaitan gelandangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata antara lain mahu mendapatkan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja di lapangan, sebelum membawa sebarang ketetapan mengenai perkara itu kepada Jemaah Menteri.

“Saya tidak mahu kita sekadar mengulangi operasi (penguatkuasaan ke atas gelandangan).

“Saya mahu kita memperbaiki sistem supaya mereka yang memerlukan bantuan, tidak terus kembali ke jalanan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Selasa lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menyertai operasi KL Strike di sekitar Kuala Lumpur, membabitkan DBKL, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan.

Mengulas operasi itu, beliau mengakui masalah berkaitan gelandangan boleh berulang jika tiada kemudahan bantuan susulan mencukupi diberikan selepas mereka disaring serta dirujuk ke agensi berkaitan.

“Sampai bila kita mahu buat operasi gelandangan yang sama, kalau akhirnya mereka kembali ke jalanan?

“Saya melihat sendiri cabaran di lapangan. Tempat saringan terhad, ada yang tiada dokumen pengenalan dan memerlukan rawatan kesihatan mental, selain warga emas serta kanak-kanak memerlukan perlindungan,” katanya.-BH Online