Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) komited melaksanakan amanah Kerajaan MADANI dengan penuh tanggungjawab, bagi memastikan rakyat terus menikmati sistem kesihatan berkualiti, adil dan menyeluruh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus memberi keutamaan kepada sektor kesihatan dalam Belanjawan 2027 hari ini.

“KKM menerima peruntukan RM47.7 bilion dengan peningkatan RM1.18 bilion atau 2.55 peratus berbanding tahun 2026 sebanyak RM46.52 bilion.

Daripada jumlah itu, RM40.95 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dengan peningkatan sebanyak RM1.18 bilion atau 2.96 peratus berbanding RM39.78 bilion pada tahun 2026.

“Manakala RM6.75 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan berbanding RM6.74 bilion pada tahun 2026,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dzulkefly, antara inisiatif utama KKM menerusi Belanjawan 2027 adalah memperkukuh tenaga kerja kesihatan dengan menawarkan 9,000 jawatan tetap kepada doktor kontrak, termasuk doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah.

Beliau berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk meningkatkan insentif pos basik bagi 47,000 anggota paramedik dan jururawat daripada RM100 kepada RM200, dan menaikkan insentif perkhidmatan kesihatan udara daripada RM30 kepada RM100.

“Peruntukan itu juga untuk menaik taraf infrastruktur serta kemudahan kesihatan bagi membina sembilan fasiliti kesihatan baharu, termasuk kompleks kesihatan di Johor, Kuching, Gerik dan Rembau. 

“Sebanyak RM1.2 bilion juga akan digunakan bagi penyelenggaraan dan pembaikan hospital serta klinik kesihatan.

“Ia termasuk menaik taraf klinik daif dan kuarters, selain menyediakan RM968 juta untuk peralatan perubatan moden, menaik taraf kemudahan hemodialisis dan memperoleh 400 ambulans baharu,” katanya.

Dzulkefly berkata, bagi mengurangkan kesesakan fasiliti kesihatan, KKM akan meningkatkan peruntukan penyumberluaran pesakit kepada RM200 juta, dengan peluasan skop perkhidmatan termasuk penggunaan fasiliti swasta, khidmat pakar secara sesi dan rawatan khusus.

Beliau berkata, KKM juga akan meneruskan pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara melalui pelaburan RM1 bilion oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

Katanya, bagi memastikan golongan rentan tidak tercicir, KKM turut meningkatkan Dana Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta.

“KKM juga akan menyediakan RM80 juta bagi saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan dan insentif rawatan kanser melalui program PeKa B40 serta memperluas saringan talasemia percuma kepada suami dan anak pembawa talasemia.

“Selain itu, Pelan MediAsas pada harga mampu milik juga akan dilancarkan dengan bayaran hospital berasaskan jenis diagnosis dan rawatan bagi membantu rakyat merancang serta mengawal kos rawatan dengan lebih baik. bagi memperluas perlindungan kewangan kesihatan,”katanya.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa memberi perhatian terhadap soal aksesibiliti setiap lapisan masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik selaras matlamat Kerajaan MADANI memperkasa rakyat melalui kesihatan dan kesejahteraan. -BH Online