PUTRAJAYA: Peruntukan hampir RM3.3 bilion bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya akan terus memperkukuh pendekatan pembangunan sosial berteraskan perlindungan, penjagaan dan pemerkasaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut KPWKM, pendekatan itu meletakkan peruntukan kerajaan bukan sekadar sebagai bantuan kewangan, sebaliknya sebagai pelaburan sosial bagi memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti, mewujudkan persekitaran yang selamat dan inklusif serta membuka peluang kepada kumpulan sasar untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, berdikari dan bermaruah.
Bagi warga emas, peruntukan RM1.3 bilion untuk Bantuan Warga Emas dijangka memanfaatkan hampir 200,000 penerima, selain menyokong pembangunan dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Pulau Pinang dan Sarawak.
KPWKM memaklumkan penurunan kadar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan penjagaan warga emas daripada lapan kepada enam peratus mulai 1 Januari 2027 juga dijangka membantu mengurangkan kos penjagaan.
Bagi golongan orang kurang upaya (OKU), peruntukan bantuan sebanyak RM1.5 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 300,000 penerima mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Menurut KPWKM, peruntukan itu merangkumi peningkatan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan bagi meringankan beban keluarga penjaga.
Selain itu, peluasan kelayakan Elaun Pekerja OKU kepada mereka yang berpendapatan sehingga RM2,000 serta penaiktarafan 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi menyediakan terapi khusus untuk individu dengan Sindrom Down turut memperluas akses kepada peluang pekerjaan, pemulihan dan intervensi awal.
KPWKM berkata, kejayaan Belanjawan MADANI 2027 perlu diukur bukan sahaja berdasarkan jumlah bantuan yang disalurkan, tetapi juga perubahan nyata dalam kehidupan rakyat.
Menurut kementerian itu, kerjasama antara kerajaan, pihak swasta termasuk penyedia perkhidmatan, dan masyarakat akan terus diperkukuh bagi memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan, wanita diberikan peluang, keluarga menerima sokongan, manakala warga emas dan OKU dapat menikmati kehidupan yang sejahtera serta bermaruah. -BH Online
