Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HUKUMAN lebih tegas seperti penjara dan sebatan patut dikenakan terhadap pengkhianat subsidi negara.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, hukuman yang sedia ada berbentuk kompaun dan denda meskipun mencecah RM100,000 tidak mampu mengendurkan tindakan kartel terutamanya yang membabitkan krisis bekalan beras dalam negara ketika ini.

Justeru, Exco Kerajaan Melaka itu mencadangakan kerajaan menggubal akta agar hukuman lebih keras terhadap kartel-kartel yang terbukti merampas subsidi rakyat di negara ini.

“Hari ini kalau kita tengok hukuman paling tinggi adalah kompaun yang mana memang kartel-kartel ini mampu bayar.

“Tapi kalau kita beri hukuman contohnya penjara dan sebatan kepada sesiapa sahaja yang mengkhianati subsidi negara termasuk menipu dan menekan rakyat, tentu mereka tidak berani melakukannya,” katanya.

Akmal berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di perairan Sungai Melaka, Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, hukuman itu juga akan memberi pengajaran kepada kartel-kartel lain agar tidak mengambil kesempatan di sebalik kesempitan rakyat.

Tegasnya, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan negeri termasuklah penambahan sebanyak 500 tan metrik beras minggu lalu bagi memastikan rakyat tidak terputus bekalan makanan ruji itu.

“Cuma saya minta rakyat di negeri ini agar tidak beli beras dalam kuantiti banyak kerana 10 kilogram itu cukup untuk menampung dalam tempoh seminggu,” katanya. –Media Perpaduan