Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Usaha mengesan serta mengesahkan status 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir di Nepal bulan lalu diteruskan, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negara itu beralih kepada fasa pemulihan. 

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, perkembangan itu susulan pengesahan seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan belum dapat dihubungi, kini berada dalam keadaan selamat.

Kementerian itu berkata, individu berkenaan hadir ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kelmarin dan identitinya sudah disahkan oleh pihak kedutaan. 

“Individu berkenaan juga selamat kembali ke Malaysia semalam (2 Oktober). Kementerian tidak akan mendedahkan maklumat peribadi lanjut mengenai individu berkenaan bagi menghormati privasi beliau,” kata kenyataan itu hari ini. 

Kementerian Luar juga berkata, pihak berkuasa berkaitan di Malaysia akan mengambil keterangan daripada individu berkenaan bagi melengkapkan rekod rasmi kes. 

“Individu berkenaan juga akan menjalani saringan kesihatan. Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan menjalankan pengesahan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal serta meneliti semula rekod berkaitan susulan perkembangan ini,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya akan terus mengesahkan setiap kes secara berasingan berdasarkan maklumat diperoleh melalui pihak berkuasa berkaitan dan saluran rasmi yang tersedia. 

Peralihan ini tidak bermakna usaha Malaysia untuk mengesahkan status 54 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi berakhir.

Kementerian juga akan mengikuti perkembangan proses perundangan dan pentadbiran yang sedang dibangunkan di Nepal berhubung dokumentasi dan prosedur yang terpakai kepada mangsa bencana yang masih belum dapat dihubungi. 

Pada masa sama, Kementerian Luar berkata, pihaknya akan terus memaklumkan perkembangan yang sudah disahkan bagi setiap kes secara langsung kepada waris individu terbabit. 

Orang ramai dan pihak media digesa supaya menghormati privasi keluarga berkenaan serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan. -BH Online