Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Langkah menyeimbangkan keanggotaan tentera kepada nisbah 50 peratus di Semenanjung Malaysia dan 50 peratus di Sabah serta Sarawak menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan bagi memperkukuh benteng pertahanan negara berikutan peningkatan aktiviti ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina. 

Penyelarasan semula penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu penting sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan limpahan konflik geopolitik, memandangkan lokasi pangkalan tentera di Pulau Balabac terletak amat berhampiran dengan Sabah. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketika ini dua pertiga daripada keseluruhan kira-kira 20,000 anggota pada setiap masa, ditempatkan di Semenanjung Malaysia, manakala hanya satu pertiga berada di Sabah dan Sarawak. 

“Dari segi anggota, sekarang ini dua pertiga anggota ada di Semenanjung, satu pertiga anggota di sana. Pada setiap masa kita ada lebih kurang 20,000 anggota. Kita nak supaya kedudukan anggota Sabah, Sarawak itu 50 peratus di Semenanjung, 50 peratus di Sabah, Sarawak. Jadi kita nak imbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di Asrama Anak-Anak Yatim Islam di sini, hari ini. 

Krisis pelarian di Borneo

Pada masa sama, Mohamed Khaled ingin menegaskan tindakan mengukuhkan benteng pertahanan di Sabah adalah sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sebarang pertembungan kuasa besar di rantau berkenaan, termasuk kemungkinan krisis pelarian. 

Katanya, ia bukan soal kekhuatiran negara terhadap kerjasama Filipina dengan Amerika Syarikat (AS) serta China.

“Saya nak jelaskan, bukan kita khuatir soal peningkatan ketenteraan di Pulau Balabac, tetapi yang kita nak tekankan apabila Filipina meningkatkan pangkalan dan kehadiran tentera AS dan sebagainya di sana, oleh kerana Pulau Balabac itu terlalu dekat dengan Malaysia, jika berlaku apa-apa pertikaian atau pertempuran di kawasan yang kecil geopolitiknya, kesannya boleh melimpah ke Malaysia. 

“Jadi, atas sebab itulah kita kena pastikan kita dalam keadaan yang bersedia, bukan sebab kita nak berhadapan dengan Pulau Balabac itu, cuma ia soal bila berlakunya pertempuran, pertembungan ataupun apa-apa yang terdapat di kawasan itu. 

“Ini kerana apabila Filipina dengan disokong oleh AS menumpukan pada kawasan Pulau Balabac, dengan China pun nanti kalau katakan berlaku apa-apa pertempuran yang tak dijangkakan, dia mesti akan merebak kepada kita. 

“Jadi jangan salah faham, bukan kerana Pulau Balabac kita bertindak begitu, tetapi sebagai satu persediaan jika berlaku konflik atau apa-apa yang melimpah ke kawasan kita, kita sudah bersedia,” katanya. 

Terdahulu, rakyat Sabah melahirkan kebimbangan susulan kerjasama pertahanan antara Filipina dan AS yang meningkatkan pembangunan pangkalan tentera termasuk di Pulau Balabac di Palawan, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi, Kudat, Sabah. -BH Online