Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu golongan muda menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) secara serius dan tidak lagi terperangkap dengan corak pemikiran lapuk yang boleh merosakkan nilai moral serta masa depan negara.

Perdana Menteri berkata, penguasaan teknologi baharu penting bagi memastikan negara tidak terus ketinggalan atau sekadar menjadi pengikut dalam arus pemodenan global.

Beliau berkata, AI dan teknologi baharu nyata memberi impak terhadap landskap kehidupan dan ekonomi masa hadapan.

“Saya sebut di Shanghai baru-baru ini bersama Premier China, kita mesti menguasai AI. Jika tidak, AI akan menguasai kita.

“Berikan ruang kepada anak-anak untuk menguasai ilmu itu secara serius, namun pada masa sama, jangan benarkan teknologi berkenaan menghakis nilai kemanusiaan dan prinsip hidup,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan generasi muda juga perlu membina kesedaran baharu yang berteraskan disiplin tinggi serta tekad yang utuh demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

Beliau berkata, pembentukan generasi baharu yang berfikiran kritis dan berintegriti penting bagi menggantikan nilai negatif yang pernah membelenggu masyarakat sebelum ini.

“Bayangkan kalau yang hadir di sini mewakili generasi kini dan akan datang ada kesedaran baharu disiplin yang baik, tekad yang bulat untuk diri saudara, keluarga dan anak-anak.


“Jadi kita ada satu generasi yang minda dan pemikirannya berbeza daripada pemikiran lapuk.

“Pemikiran dahuu yang menganggap rasuah tidak apa, mencuri tidak apa, menzalimi tidak apa, membiarkan rakyat diperbodohkan pun tidak apa. 

“Tidak lagi. Ini adalah angkatan baharu, generasi baharu dengan tekad baharu ,” katanya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri menegaskan kekuatan generasi muda juga terletak pada keupayaan mereka untuk bersatu tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Ini angkatan baharu, generasi baharu, semua kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, bersatu.

“Bayangkan kalau ini semangat baharu, saya yakin kita akan lihat negara kita memacu dengan kepantasan dan dalam tempoh 10 tahun, kita bukan kenal Malaysia hari ini, tetapi kita akan lihat Malaysia baharu yang bertenaga, progresif dan berjaya,” katanya. -BH Online