Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan polis dan petugas susulan pelaksanaan pelan laluan komuniti dari kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Terminal 1 dan Terminal 2 sempena Kejohanan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dalam kenyataannya, memaklumkan pelan laluan komuniti itu disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik serta memudahkan urusan perjalanan orang awam sepanjang tempoh kejohanan berlangsung.

“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda arah serta mengikuti arahan pihak polis dan petugas bertugas bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh kejohanan berlangsung,” katanya.

Orang ramai, khususnya pengguna yang mempunyai urusan di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, turut dinasihatkan mengambil kira keadaan trafik dan memperuntukkan masa perjalanan yang mencukupi bagi mengelakkan kelewatan.

IPD KLIA turut memohon kerjasama dan kesabaran semua pihak demi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kelancaran pergerakan trafik sepanjang penganjuran kejohanan berkenaan.

Pelan laluan komuniti itu boleh didapati di akaun Facebook rasmi IPD KLIA.

Aliran trafik ke SIC sesak

Sementara itu, tinjauan di sekitar bulatan Masjid KLIA pagi tadi mendapati aliran trafik menghala ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengalami kesesakan susulan kawalan lalu lintas oleh pihak polis di laluan utama menuju ke litar.

Kenderaan dilihat bergerak perlahan di beberapa laluan berhampiran bulatan berkenaan, manakala anggota polis ditempatkan bagi mengawal pergerakan trafik dan memastikan laluan utama kekal terkawal.

Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 bermula semalam, dengan dua sesi latihan bebas selama 60 minit membabitkan barisan pelumba dan pasukan F1.

Sesi latihan bebas pertama bermula jam 12.30 tengah hari, disusuli sesi kedua pada 4 petang.

Hari ini, sesi latihan bebas ketiga selama 60 minit akan berlangsung pada 12.30 tengah hari sebelum sesi kelayakan pada 4 petang bagi menentukan petak permulaan perlumbaan Ahad.

Perlumbaan F1 Gulf Air GP Bahrain 2026 sejauh 56 pusingan pula dijadual bermula jam 3 petang.

Selain saingan F1, Formula Trophy Malaysia (FTM) turut akan beraksi di SIC sepanjang hujung minggu perlumbaan berkenaan. -BH Online