Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) akan menempatkan seramai kira-kira 40,000 pelajar secara berfasa bagi menangani isu kekurangan tempat tinggal di universiti berkenaan. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata projek penempatan berkenaan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 15 Oktober ini sebagai sebahagian daripada model pendekatan baharu kerajaan untuk menyegerakan penyediaan kemudahan penginapan pelajar.

Inisiatif itu dibina berasaskan keperluan semasa dan masa depan UM yang kini memiliki keseluruhan pendaftaran seramai 46,700 pelajar, selain menjadi model rujukan untuk dilaksanakan di universiti awam (UA) lain di seluruh negara.

“Setakat ini yang saya difahamkan, residensi di UM ini dibina untuk menampung keperluan masa depan bagi 40,000 pelajar secara keseluruhan. 

“Ia akan dilaksanakan secara berperingkat, namun keperluan asas yang mendesak akan diselesaikan terlebih dahulu. 

“Pendekatan ini bukan hanya untuk UM, tetapi merangkumi seluruh universiti awam yang menghadapi masalah penempatan pelajar yang semakin mendesak,” katanya selepas Majlis Perasmian ILMUcode, UM di sini, hari ini. 

Turut hadir, Naib Canselor UM, Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun.

Mengulas mengenai kriteria keutamaan penempatan, Zambry berkata, golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) serta mereka yang datang dari kawasan jauh tetap menjadi keutamaan utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan projek itu turut menyediakan ruang dan model fleksibel bagi pelajar daripada keluarga berkemampuan yang bersedia membuat bayaran penginapan sendiri. 

“Keutamaan kita sentiasa kepada pelajar B40 dan mereka yang kurang berkemampuan serta datang dari jauh. 

“Namun, dalam masa sama ada juga model untuk pelajar yang mampu dan sanggup membayar sendiri. Perincian serta bentuk model penginapan ini akan kita umumkan kelak. 

“Paling mustahak, tujuan projek ini bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan, tetapi fokus utama kita adalah menyelesaikan masalah tempat tinggal mahasiswa,” katanya.

Era baharu pembangunan perisian

Sementara itu, mengenai ILMUcode, Noor Azuan dalam kenyataan memaklumkan, ILMUcode dibangunkan bagi mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi era baharu pembangunan perisian dan membolehkan pembangun tempatan akses kepada keupayaan pengekodan termaju melalui infrastruktur berdaulat, pada kos yang jauh lebih rendah. 

Sempena pelancaran itu, YTL AI Labs memperkenalkan ILMUcode secara langsung kepada generasi pembangun Malaysia yang seterusnya. 

“UM akan menjadi universiti pertama di negara ini yang memperkenalkan ILMUcode kepada para pelajarnya. 

“Seiring dengan permulaan semester baharu, 800 pelajar tahun pertama dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat akan menerima kredit bernilai RM100 sebulan selama tiga bulan. 

“Peruntukan ini membolehkan mereka memperoleh kredit hingga RM300 untuk meneroka, membina dan membangunkan projek menggunakan ILMUcode,” katanya. -BH Online