PUTRAJAYA: “Saya tidak mahu lihat KLIA jadi macam Selayang. Saya tidak mahu membiarkannya jadi macam itu”.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata demikian ketika mengulas mengenai sindiket warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, penubuhan agensi itu bukan sekadar mencukupkan syarat sebaliknya mereka diberikan amanah dengan objektif yang jelas, iaitu menjamin keselamatan dan membanteras elemen jenayah di pintu masuk negara.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua termasuk yang meminta saya teruskan apa jua usaha untuk memperbaiki keselamatan pintu masuk negara.
“Saya amat-amat menghargainya dan itulah semangat saya pegang untuk saya terus berusaha untuk mengubah prasarana ataupun keselamatan di pintu masuk negara.
“Saya tidak mahu KLIA jadi macam Selayang. Jadi, saya rasa cukup jelas inisiatif dan motivasi kami di AKPS ini. Kerajaan menubuhkan kami ada sebab, bukan suka-suka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. -BH Online
