Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Kejayaan skuad sepak takraw negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas dalam acara regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan pengurusan badan induk yang baik serta komitmen atlet mampu menghasilkan kejayaan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kebangkitan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam meraih pelbagai kejuaraan menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi selepas melalui pelbagai onar dan duri sebelum ini.

Justeru, beliau berpendapat apa yang diraih PSM itu wajar dijadikan contoh oleh persatuan sukan lain dalam usaha membangunkan prestasi pasukan masing-masing serta meraih kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Saya memberikan penghargaan dan pujian kepada PSM, kepimpinan Datuk Sumali Reduan (Presiden PSM) dan seluruh pasukan termasuk jurulatih serta atlet sepak takraw. Saya rasa ini adalah satu pengurusan persatuan sukan yang sangat baik dan disambut dengan komitmen yang ditunjukkan atlet sepak takraw.

“Ini wajar dicontohi semua persatuan sukan lain dan saya percaya dengan kekuatan serta kebersamaan itu, kita mampu mencapai kejayaan secara keseluruhan, insya-Allah,” katanya yang ditemui ketika menyambut ketibaan pasukan sepak takraw dari Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1, di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Majlis Sukan Negara (MSN), Puah Pei Ling dan Timbalan Presiden PSM, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Pegawai Korporat Telekom Malaysia Berhad, Nor Fadhilah Mohd Ali.

Selain pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki, skuad negara turut membawa pulang pingat perak selepas tewas kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi final acara regu.

Dalam pada itu, susulan prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad sepak takraw negara, Taufiq berkata KBS sentiasa terbuka untuk membincangkan kemungkinan penambahan dana kepada sukan yang dikenal pasti mempunyai potensi menyumbang pingat emas.

Katanya, KBS sebelum ini mengambil langkah berani apabila menetapkan sasaran berdasarkan jumlah pingat emas berbanding hanya sasaran keseluruhan pingat.

Menurutnya, sasaran berkenaan akan diteruskan pada temasya akan datang, termasuk Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah, selain impian membawa negara ke Sukan Olimpik dan meraih emas pertama. -BH Online