KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenang Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang yang lembut tutur kata, namun tabah serta kuat jiwa.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Perdana Menteri, Anwar dan Dr Wan Azizah berkata, mereka mengenali Almarhum sebagai ‘Kak Hasmah’ yang memiliki sosok keibuan yang amat dekat di hati rakyat.
“Hari ini, negara kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat. Sementalahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam, bersama segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya,” katanya.null
Selain menzahirkan rasa duka cita mendalam atas pemergian Dr Siti Hasmah, Anwar dan isteri turut merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan berkenaan.
“Kami mendoakan semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal baktinya serta mengurniakan ketabahan kepada mereka yang ditinggalkan. Al-Fatihah,” katanya.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pagi tadi. -BH Online
