Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kumpulan yang menggunakan nama Islam atau Melayu tetapi mengetepikan soal akhlak dan idealisme perjuangan, termasuk menjadikan kebencian, fitnah serta cacian sebagai senjata.
Perdana Menteri berkata, gerakan kesedaran atas nama Islam akan tempang sekiranya hanya berpaksikan semangat kemarahan dan menghalalkan adu domba.
“Kita harus bangkit dengan tradisi akliah dan tegak dengan idealisme. Gerakan apa pun atas nama Islam akan teruji bukan semata-mata pada slogan tapi kepada pelaksanaan perjuangannya.null
“Apa ertinya parti atau gerakan Islam sekiranya bergerak dengan meninggalkan prinsip akhlak, penuh dengan kebencian serta menjadikan fitnah dan cacian sebagai senjata dan wirid harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi anjuran WADAH, ABIM dan PKPIM di Bangi, malam tadi.
Majlis turut meraikan delegasi ‘The Union of NGOs of The Islamic World’ (UNIW) yang hadir dalam acara ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh ucapan Almarhum Siddiq Fadzil bahawa Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.
“Saya juga sentuh kepentingan usrah dalam gerakan dengan tidak meninggalkan tradisi turath Islami yang juga penting dalam memandu gerakan dan perjuangan.
“Selain tegas dalam melawan rasuah, menentang pemikiran takfiri serta perjuangan membasmi kemiskinan tegar, gerakan Islam juga harus kekal dengan adab, akhlak dan menghormati kebangsaan,” katanya.-BH Online

