NEW YORK: Malaysia menegaskan tiada tempat yang lebih mendesak untuk masyarakat antarabangsa melaksanakan usaha tindak balas selain di Gaza, ketika penderitaan rakyat Palestin terus berlarutan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata banyak negara anggota sudah menggesa keadilan untuk Palestin, namun kehendak kolektif ini terus terpalit dengan halangan kuasa veto.
“Malaysia akan berterus terang, kita sudah muak dengannya,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-81 di sini, hari ini.null
Mohamad berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan sekadar diwujudkan untuk menangani kesan selepas perang, tetapi untuk mencegah perang daripada berlaku.
“Namun, terlalu kerap kita hanya bertindak selepas bencana berlaku. Kita mengira jumlah korban. Kita menghantar bekalan. Kita membina semula apa yang telah musnah. Kemudian kita menunggu krisis seterusnya,” katanya.
Justeru, Malaysia menurut Mohamad, menggesa masa depan multilateralisme perlu beralih daripada tindak balas kepada pencegahan.
“Malaysia tidak akan berdiri di sini untuk mengulangi statistik yang sudah diketahui semua di Dewan ini. Kita semua tahu skala kematian di Gaza. Kita tahu berapa ramai kanak-kanak, keluarga, petugas perubatan, pekerja bantuan dan wartawan yang telah dibunuh.
“Kita juga tahu bahawa Gaza mencatatkan jumlah kanak-kanak yang menjadi yatim piatu tertinggi dalam satu-satu konflik,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia dan banyak negara anggota lain telah mengerahkan segala usaha dalam mencari keadilan untuk Gaza.
“Kita secara konsisten menggesa gencatan senjata segera serta penyaluran bantuan tanpa sekatan. Kita telah menyokong usaha kemanusiaan di Palestin. Kita telah menggesa tindakan punitif terhadap Israel.
“Kita telah memperjuangkan keanggotaan penuh Palestin di Dewan ini. Namun, sekali lagi dan sekali lagi, kehendak kolektif Perhimpunan ini berdepan dengan kesan pembungkaman atau silencing akibat penggunaan kuasa veto,” katanya.
Mohamad berkata, dunia telah terbiasa dengan krisis dengan peperangan semakin memuncak selain persaingan kuasa besar semakin sengit manakala seni bina kawalan senjata antarabangsa semakin tertekan.
Malah, katanya, teknologi baharu mengubah masyarakat dengan lebih pantas daripada keupayaan institusi untuk menyesuaikan diri.
“Namun, mungkin bahaya terbesar bukanlah mana-mana satu krisis. Sebaliknya, ia adalah kepercayaan yang semakin berkembang bahawa sistem antarabangsa tidak mampu menyelesaikan krisis-krisis tersebut.
“Itulah defisit kepercayaan yang sedang dihadapi PBB hari ini,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia percaya dunia mesti menghadapinya secara terbuka dan jujur kerana kepercayaan hanya boleh dipulihkan melalui tindakan yang konkrit. -BH Online
