Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, susulan kematian seorang murid Tingkatan Dua malam tadi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata audit itu bagi meneliti aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah, selain memastikan tiada sebarang ketidakpatuhan terlepas daripada perhatian.

Beliau berkata, KPM juga memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, termasuk selepas seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan.

“Tiada pihak akan dilindungi jika didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam kes ini. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media pagi tadi melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia malam tadi selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu, dipercayai akibat dibuli. 

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya akan memaklumkan butiran lanjut berhubung kes berkenaan dalam masa terdekat.

Fadhlina berkata, beliau hadir ke sekolah itu pagi ini bagi mendapatkan penjelasan daripada warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PDRM berhubung kejadian serta tindakan yang sudah diambil.

Beliau berkata, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham dan warga sekolah yang terkesan.

Sementara itu, Fadhlina merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memaklumkan beliau sudah bertemu ahli keluarga di hospital bagi menyampaikan rasa simpati atas kehilangan berkenaan.

“Saya bersama seluruh warga KPM dukacita atas pemergian seorang murid Tingkatan Dua sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini.

“Saya sudah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini.

“Dalam saat yang sukar ini, keutamaan kita adalah keluarga Allahyarham dan KPM akan bekerjasama penuh kepada siasatan PDRM serta memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara,” katanya.-BH Online