Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW YORK: Malaysia menegaskan undang-undang antarabangsa tidak boleh dianggap sebagai pilihan yang boleh diterima atau ditolak sesuka hati dan hanya dipatuhi apabila ia menguntungkan pihak tertentu. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata jika sistem ini mahu terus kekal relevan dan berfungsi, budaya impuniti tidak boleh dibiarkan berterusan, sebaliknya prinsip kebertanggungjawaban mesti ditegakkan.

Impuniti merujuk keadaan seseorang tidak dikenakan hukuman atau tidak dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.

“Mempertahankan undang-undang antarabangsa bukan soal memilih pihak,” katanya.

Ia, tegas Mohamad, sebaliknya adalah usaha mempertahankan suatu tatanan (susunan, aturan, sistem atau struktur yang mengatur sesuatu) berasaskan peraturan di mana tiada negara berada di atas undang-undang dan hak rakyat tidak boleh ditentukan berdasarkan kepentingan politik semata-mata.

Beliau menegaskan demikian ketika menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Luar Biasa Menteri Luar Kumpulan Hague bagi Mempertahankan Undang-Undang Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81, di sini hari ini.

Mohamad menambah, masyarakat seharusnya berusaha memperkukuh, bukannya melemahkan sistem multilateral. 

Katanya, PBB kekal sebagai tonggak utama yang menjadi landasan kepada kerjasama masyarakat antarabangsa.

“Apabila sistem ini dilemahkan akibat kegagalan bertindak atau kebuntuan politik, kita perlu berusaha memperkukuh asasnya melalui tindakan yang berprinsip dan berlandaskan undang-undang,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi rakyat Palestin, ini bermaksud mempertahankan hak-hak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri.

Selain itu, menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Mohamad berkata, Kumpulan Hague diwujudkan kerana prinsip yang hanya tercatat di atas kertas tidak membawa sebarang makna tanpa penguatkuasaan. 

“Malaysia menyertai inisiatif ini atas rasa tanggungjawab yang menuntut tindakan kolektif dan konsisten yang berteraskan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Kumpulan berkenaan menyediakan kerangka yang membolehkan kewajipan diterjemahkan kepada langkah dan tindakan yang konkrit. -BH Online