Kerajaan sedang memuktamadkan langkah susulan bagi menangani keresahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan yang terjejas akibat persaingan platform e-dagang luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu itu sudah dibangkitkan secara langsung dalam perbincangan dua hala bersama kepimpinan tertinggi China serta ketika sesi pertemuan perniagaan sepanjang lawatan kerjanya ke negara berkenaan.
“Saya memberi jaminan kepada peniaga yang terkesan bahawa Kerajaan MADANI sedang memuktamadkan langkah susulan bagi menangani isu ini secara menyeluruh, dan perkara ini akan menjadi antara keutamaan dalam Mesyuarat Kabinet yang akan datang,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada akhir lawatan kerja ke China.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau menyambut baik komitmen Perdana Menteri China, Li Qiang, yang bersetuju mengenal pasti kaedah terbaik bagi memastikan PMKS tempatan dilindungi dan tidak terus terjejas.
Menurutnya, pendirian itu turut disokong dengan jaminan daripada syarikat gergasi China, termasuk Alibaba.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Misi Diplomasi MADANI di Shanghai dan Hangzhou turut merekodkan potensi pelaburan bernilai RM28.6 bilion.
Katanya, pelaburan berkenaan tertumpu kepada sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, pengarusutamaan kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi dan pembuatan termaju.
Potensi eksport ke China pula dianggarkan RM8.2 bilion bagi tempoh satu hingga tiga tahun.
Anwar berkata siri lawatan itu turut memberi pendedahan kepada penerokaan teknologi baharu serta aplikasi AI yang boleh dipelajari daripada kemajuan pesat China.
“Kejayaan lawatan ini telah memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan Malaysia-China serta mempelbagaikan kerjasama yang akan melimpahkan lebih banyak manfaat dan kemakmuran buat rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Perdana Menteri berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou. -BH Online
